Tuesday, June 2, 2009

Tolak tuntutan Shafnie

KAJANG: Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, menolak permohonan model dan pengacara Shafnie Zainuddin yang mahu mendapatkan dokumen bagi pendapatan bekas suaminya iaitu penyanyi dan pelakon AC Mizal.

Hakim Syarie Abdul Malik Soleh dalam keputusannya berkata beban pembuktian terletak kepada Shafnie, 33, bagi membuktikan AC Mizal atau Mizal Zaini, 38, mampu membayar nafkah dua anak seperti yang dimintanya.

Peguam syarie, Azmi Rais yang mewakili Shafnie memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan permohonan bagi mendapatkan sapina untuk memanggil saksi bagi memberi keterangan berhubung isu itu.

Mahkamah menetapkan 13 Ogos ini untuk perbicaraan.

Pada 4 Mac lalu, AC Mizal yang diwakili peguam syarie, Siti Aishah Din membantah permohonan Shafnie yang meminta pengacara Akademi Fantasia itu mengemukakan dokumen seperti penyata akaun dan slip gaji atas namanya.

Pada 20 Februari 2008, Shafnie memohon kepada mahkamah supaya AC Mizal mengemukakan dokumen itu bagi menyokong pembelaannya yang mendakwa tidak mampu membayar nafkah dua anaknya.

Dalam afidavit balasannya, AC Mizal menegaskan dia tidak berkemampuan untuk memberikan nafkah anak seperti dituntut Shafnie.

Mahkamah menetapkan 13 Ogos ini bagi sebutan semula dua permohonan Shafnie untuk mengubah perintah nafkah anak-anak dan perintah komital.

Perintah tersebut bagi membolehkan AC Mizal mengemukakan sebab mengapa dia tidak boleh dipenjarakan kerana gagal menjelaskan tunggakan nafkah RM50,000 sejak 2004.

AC Mizal dan Shafnie bernikah pada 24 Jun 1995 sebelum bercerai talak satu pada 17 Oktober 2001. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Shafiq Iman, 12, dan Muhammad Shabil Iman, 9 tahun.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...