Tuesday, June 2, 2009

Along Kristal 9

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Sindiket along yang terbabit mengurung dan merantai tiga peminjam di Taman Bukit Perindustrian Seri Kembangan dekat sini, Rabu lalu mempunyai struktur organisasi tersusun dengan setiap konconya mempunyai peranan masing-masing untuk melakukan tindakan jahat bagi memperdayakan peminjam.

Kumpulan dikenali sebagai Kristal 9 itu dipercayai bergerak aktif sejak tiga tahun lalu, menawarkan pinjaman haram dan sanggup bertindak kejam sehingga menjadikan peminjam sebagai ‘banduan’ untuk diseksa di lokap buatan mereka sendiri jika gagal melunaskan pinjaman.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata susulan penahanan dua suspek adik beradik berumur 25 dan 29 tahun di Ampang, Sabtu lalu, pihaknya kini memburu enam lagi dalang sindiket terbabit.

Semua yang diburu ialah Ong Leng Kok @ Franco, 32, dari Taman Cheras Indah, Kuala Lumpur; Chan Ching Fatt @ Ah Fatt, 22, dari Jalan Klang Puchong, Puchong; Yong Hock Fai @ Alex @ Fei Kai Sau, 25, dari Taman Kosas, Ampang serta Lee Chin Onn atau Kai Chin, 23, dari Pandan Perdana, Selangor, manakala dua lagi suspek sedang dikenal pasti.

“Sindiket ini mempunyai organisasi tersusun, contohnya Franco jadi ketua untuk kawasan Selangor, Ah Fatt dipercayai menjaga kawasan Klang, Alex konco yang paling ganas dan menjaga kawasan Ampang serta Kai Chi, yang menjadi orang kanan Alex, berperanan sebagai penculik serta membawa peminjam ke tempat kurungan.

“Selain itu, setiap anggota mempunyai tugas khusus seperti penyimbah cat, penjaga lokap, tukang culik dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.

Menurut Khalid, pihaknya sedang menyiapkan dua lagi gambar suspek yang belum diperoleh namun semua mereka dipercayai masih berada dalam negara.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini menjalankan kegiatan pinjaman wang haram sejak 2006 dengan pungutan sehari mencecah RM40,000 dan mampu mencecah RM1.2 juta sebulan.

“Sewaktu serbuan di Taman Bukit Permai Ampang, kita merampas sejumlah barangan termasuk ribuan keping poster iklan pelbagai warna, rekod data peminjam, puluhan tin cat merah yang digunakan untuk mengugut mangsa serta dua kenderaan dipercayai dirampas daripada peminjam.

“Sindiket ini menggunakan helah dengan menggantung poster menawarkan khidmat pemasangan stesen televisyen berbayar, kelas tambahan serta jualan barangan kristal yang sebenarnya mengaburi pihak berkuasa menjejaki mereka.

“Namun, setelah dihubungi mereka sebenarnya tidak menyediakan perkhidmatan itu sebaliknya akan menawarkan khidmat pinjaman haram ini, ‘’ katanya sambil menambah siasatan mendapati peminjam perlu memohon kad juruwang automatik (ATM) dan menyerahkan kepada sindiket itu untuk mengeluarkan sendiri wang daripada akaun peminjam,” katanya.

Selain itu, Khalid berkata, pihaknya menemui dua lokasi lokap sindiket itu di Pandan Indah dan Gombak, selain di Seri Kembangan dan meminta mangsa yang pernah ditahan di lokap terbabit tampil membantu siasatan dengan jaminan keselamatan diberikan kepada mereka.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya baru menjumpai satu pejabat di Ampang dan sedang mengesan lokasi pejabat sindiket itu dipercayai berada di seluruh negara.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090602063921/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...