Friday, June 26, 2009

Belasah dalam surau

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my


KUANTAN: Menyayat hati apabila sekumpulan 80 pelajar hanya mampu melihat seorang rakan mereka dibelasah empat senior selepas menunaikan solat Witir di surau sebuah sekolah agama di Rompin, awal pagi kelmarin.

Kumpulan pelajar berkenaan tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang turut menjadi mangsa senior berusia 16 hingga 17 tahun yang tiba-tiba ‘naik minyak’ tanpa sebarang sebab.

Namun, mangsa, Mohd Ashraf Abdul Aziz, 15, bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius berikutan kejadian itu disedari kakitangan sekolah yang meleraikan pergaduhan.

Mangsa cedera di lengan dan muka selain beberapa bahagian badan dibawa ke klinik berhampiran untuk menerima rawatan pesakit luar oleh pihak sekolah.

Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Ashraf dipukul secara membabi buta tanpa sebarang sebab.

Selepas selesai menunaikan solat, mereka tiba-tiba memadam lampu dan meluru ke arahnya lalu bertindak memukul mangsa sebelum dileraikan kakitangan sekolah,” katanya.

Menurutnya, kerana tidak puas hati dengan kejadian itu, satu laporan polis dibuat bagi menuntut keadilan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Rompin, Deputi Superintendan Razali Razak mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, keluarga mangsa menarik balik laporan itu pada hari sama kerana difahamkan mereka bersedia menyelesaikan kes itu dengan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta tidak mahu membabitkan polis.

“Polis menganggap kes ini selesai dan berharap pihak yang terbabit dalam kejadian itu dapat berunding dengan cara baik mencari jalan penyelesaian sewajarnya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Agama Rompin, Nasiruddin Mohamed Yusof, berkata empat pelajar berkenaan yang memukul mangsa sudah dibuang daripada asrama selepas perjumpaan dengan keluarga mangsa dan PIBG, namun beliau enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090626071827/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...