Friday, June 26, 2009

‘Saya akui buat silap’

KUALA LUMPUR: “ Saya mengaku buat silap. Saya buat begitu kerana hendak bayar hutang ceti haram RM8,000 tapi sampai sekarang ia masih belum dijelaskan,” kata pemandu van sebuah syarikat keselamatan, Abdul Jalil Abdullah ketika membuat rayuan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Abdul Jalil, 38, yang mengaku bersalah atas tuduhan pecah amanah dengan melarikan karung berisi wang RM250,000 milik Syarikat Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd, dua minggu lalu memberitahu mahkamah, dia meminjam duit itu untuk membiayai kos rawatan ibunya yang sakit serta kesempitan wang untuk menyara isteri dan tiga anak.

“Isteri saya bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan RM650 sebulan. Kami sekeluarga pernah makan nasi dengan garam kerana tidak mempunyai wang untuk membeli barangan keperluan,” katanya sambil menangis di dalam kandang tertuduh.

Hakim SM Komathy Suppiah menjatuhkan hukuman penjara 40 bulan dari tarikh dia ditangkap pada 17 Jun ini dan dua sebatan.

Dalam penghakimannya, Komathy menyelar sikap tertuduh yang sudah memusnahkan kepercayaan masyarakat terhadap syarikat keselamatan.

“Kamu melakukan kesalahan itu ketika masih bertugas dan memakai pakaian seragam. Perbuatan kamu juga menyebabkan tiga rakan kamu direman empat hari,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu van syarikat Safeguards Securicor Sdn Bhd didakwa melakukan pecah amanah itu di hadapan Menara Perkeso, Jalan Ampang, dekat sini, kira-kira jam 6 petang dan 7 malam, 8 Jun 2009.

Bagi kesalahan itu, Abdul Jalil didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 14 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...