Friday, June 26, 2009

Lapan kes baru dikesan

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Situasi semasa penularan selesema babi (H1N1) di negara ini terus meningkat apabila sehingga semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan lapan kes baru positif selesema itu membabitkan lima kes import dan tiga kes jangkitan tempatan.

Jumlah itu menjadikan kes dikesan setakat ini meningkat kepada 58 kes membabitkan 51 kes import manakala selebihnya kes tempatan.

Kes jangkitan tempatan terbaru itu membabitkan seorang murid perempuan darjah lima di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta Dua, Petaling Jaya, Selangor yang dikesan mempunyai hubungan komunikasi sebelum ini dengan pesakit ke-43 yang disahkan positif selesema babi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pesakit itu dikesan positif selesema babi selepas dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) kelmarin apabila mengalami demam, batuk dan sakit tekak selain mempunyai hubungan komunikasi dengan pesakit ke 43 dikesan selesema babi.

“Ini kes kedua membabitkan pelajar yang dikesan positif selesema babi dan disebabkan itu, pihak kementerian kini sedang mengambil langkah pencegahan sewajarnya.

“Malah, berdasarkan situasi semasa itu juga, kami kini mengambil langkah dengan menutup dua sekolah bagi menghalang penularan penyakit ini membabitkan SRK Assunta Dua dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Jalan Davidson, Kuala Lumpur bermula Ahad lalu,” katanya dalam sidang akhbar, di Lobi Parlimen, di sini, semalam.

Liow berkata, pihaknya juga mengarahkan sebuah kelas di empat sekolah ditutup daripada digunakan untuk tujuan pembelajaran membabitkan tiga di Selangor iaitu Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka, Batu 9, Cheras, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, Shah Alam dan SMK Damansara Utama, Petaling Jaya manakala satu lagi di Kuala Lumpur membabitkan Sekolah Menengah (SM) Wangsa Maju.

Katanya, semua ibu bapa pelajar yang bersekolah di sekolah seperti dinyatakan itu diminta memastikan anak-anak mereka kekal berada di dalam rumah bagi mengelakkan penularannya.

“Kami amat berharap setiap ibu bapa membabitkan sekolah yang kami nyatakan itu supaya memantau pergerakan anak-anak mereka dengan tidak membiarkan mereka ke tempat awam.

“Ini bertujuan supaya penularan selesema babi dapat dicegah serta dikawal terutama jika mereka mempunyai komunikasi dengan pesakit sebelum ini,”
katanya.

Beliau berkata dua lagi kes tempatan membabitkan seorang perempuan berusia 18 tahun apabila dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star, Kedah, Jumaat lalu.

Manakala, satu lagi kes tempatan turut membabitkan seorang wanita berusia 25 tahun yang dimasukkan ke hospital sama Sabtu lalu sebelum ujian dilakukan kelmarin mengesahkan positif selesema babi.

“Kedua-dua pesakit ini kami kenal pasti mempunyai hubungan komunikasi dengan pesakit ke 48 yang dikesan selesema babi di negara ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090626070543/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...