Monday, May 10, 2010

5 kali hamil luar nikah

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
2010/05/10

JOHOR BAHRU: Ketika jutaan wanita di seluruh dunia meraikan sambutan Hari Ibu bersama insan tersayang, seorang wanita yang sering diperalat lelaki baru dikenali hingga pernah melahirkan empat anak luar nikah, kini menaruh simpati terhadap sebuah rumah perlindungan ibu mengandung untuk melahirkan anak kelimanya.

Pengurus Persatuan Kebajikan Tiram, Dr Salina Abdullah, 50, berkata wanita berusia 33 tahun itu menghubunginya baru-baru ini bagi mendapatkan bantuan kerana bakal melahirkan anak kelima tidak lama lagi.


Menurutnya, atas dasar perikemanusiaan pihaknya pernah menawarkan perlindungan kepada wanita itu sebelum ini, namun disebabkan dia tidak pernah insaf terhadap perbuatannya, permintaan wanita itu terpaksa ditolak.


Katanya, difahamkan anak yang bakal dilahirkan itu hasil hubungan sulit dengan teman lelaki baru dikenali lebih setahun lalu.


“Sebelum ini, kami pernah menawarkan perlindungan kepada wanita berkenaan kerana disisih keluarga dan menghadapi masalah berkahwin dengan teman lelaki sebelum ini kerana tiada kad pengenalan.


“Kami kasihan melihat wanita itu kerana dia terpaksa hidup serba kekurangan selepas teman lelakinya ditangkap polis akibat kes curi lori dan dihukum penjara,”
katanya.


Bagaimanapun, katanya, dia tidak menyangka wanita itu terus bergelumang dosa apabila hamil anak kelima dan bakal melahirkannya tidak lama lagi.


Menurutnya, perkembangan terbaru itu memaksa pihaknya menolak rayuan wanita berkenaan.


“Wanita itu memberitahu dia mempunyai masalah mendirikan rumah tangga dengan teman lelaki barunya itu kerana lelaki berkenaan sudah beristeri dan mempunyai anak.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ketika beberapa kali mendapatkan perlindungan di sini, dia mengakui kesilapannya dan berjanji tidak mengulangi perbuatan itu selain melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu,” katanya.


Menurutnya, wanita itu mendakwa teman lelakinya enggan bertanggungjawab menyebabkannya keliru sama ada mahu membesarkan bayi yang bakal dilahirkan itu atau sebaliknya.


“Dalam perbualan kami, wanita berkenaan menyatakan masalah membesarkan anak sulung berusia 10 tahun serta anak keempat berusia tiga tahun menyebabkan dia bercadang menyerahkannya kepada orang lain.


Ia menunjukkan pengalaman empat kali melahirkan anak luar nikah tidak menginsafkan wanita itu. Kami sedih dan ingin membantunya, tetapi sukar membantu mereka yang enggan membantu diri sendiri,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/5kalihamilluarnikah/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...