Monday, May 10, 2010

Perang siber mungkin berlaku di AS

NEW YORK - Bekas penasihat keselamatan dua Presiden Amerika Syarikat (AS), Richard Clarke, memberi amaran mengenai satu serangan siber akan berlaku yang mampu membawa kemusnahan besar dalam tempoh kurang 15 minit, lapor sebuah akhbar semalam.

Clarke yang merupakan seorang pakar antikeganasan menyatakan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) perlu bersedia menghadapi satu serangan siber yang menyebabkan kemusnahan seumpama serangan 11 September 2001 di New York.

Clarke merupakan bekas penasihat Presiden AS, Bill Clinton dan George W. Bush.

Dia memberi amaran itu dalam buku terbarunya, Cyber War: The Next National Security Threat.

Menurutnya, kelemahan kawalan keselamatan bagi menghadapi serangan tersebut akan menyebabkan satu serangan elektronik bakal berlaku.

Dalam bukunya itu, Clarke menyatakan serangan siber mungkin menjadikan rangkaian komputer Jabatan Pertahanan AS (pentagon) sebagai sasaran utama sebelum jaringan elektrik turut terjejas.

"Serangan itu akan meletupkan saluran paip. Ia mungkin merosakkan rangkaian elektrik. Serangan itu akan menyebabkan rekod kewangan menjadi keliru," katanya dalam buku berkenaan.

Clarke berkata, peperangan siber akan bermula dari sebuah negara musuh AS atau dilakukan oleh seorang penggodam persendirian.

Dia menyatakan bahawa langkah sementara yang diperkenalkan oleh pemerintah AS untuk untuk melindungi rangkaian komputer negara itu masih tidak mencukupi untuk menghalang serangan tersebut daripada berlaku.

Namun, pengurusan pentadbiran Presiden AS Barack Obama kelihatan seperti tidak bersetuju dengan ramalan yang diberikan Clarke. - Agensi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...