Wednesday, August 11, 2010

Belacan beracun

Oleh Asmah Rusman

2010/08/11

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan belacan disahkan beracun berikutan mengandungi Rhodamine B iaitu sejenis bahan pewarna kimia merah jambu yang berbahaya.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, penggunaan bahan pewarna itu dalam makanan adalah dilarang kerana ia mempunyai potensi menyebabkan penyakit barah (Karsinogen) serta banyak digunakan dalam industri plastik dan tekstil.

“Melalui pandangan mata kasar, kehadiran Rhodamine B memang sukar dibezakan daripada bahan pewarna lain yang juga menghasilkan warna merah jambu. “Ia berlaku disebabkan terdapat segelintir pengeluar tidak bertanggungjawab yang ingin mengaut keuntungan,” katanya selepas merasmikan majlis pelancaran Kempen Keselamatan Makanan 2010 peringkat kebangsaan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Tsun Jin, di sini, semalam.

Menurutnya, penjualan dan penyediaan makanan mengandungi Rhodamine B adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 13, Akta Makanan 1983. Jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, dalam ucapan perasmiannya, beliau turut mengingatkan pelajar supaya mengamalkan tiga langkah penting mengenali makanan rosak iaitu lihat, hidu dan rasa terutama ketika membeli juadah berbuka puasa pada Ramadan ini.


“Ibu bapa dan guru seharusnya menjadi penasihat kepada anak-anak supaya berhati-hati memilih makanan di bazar Ramadan.


“Pastikan makanan yang dibeli bersih, elakkan pembelian makanan yang disediakan terlalu awal dan makanan yang menggunakan pewarna berlebihan supaya tidak terdedah kepada keracunan makanan,” katanya.


Beliau berkata, penganjuran kempen itu bertujuan mendidik dan mengajar pelajar terutamanya di peringkat sekolah rendah supaya mereka dapat mengenali makanan yang rosak dan tercemar.


Katanya, mengikut laporan kementerian tahun lalu, 303 episod keracunan makanan dilaporkan di seluruh negara membabitkan 77 episod atau 25 peratus di kalangan pelajar sekolah dan 57 episod (19 peratus) bagi dapur asrama sekolah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Belacanberacun/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...