Wednesday, August 11, 2010

Jumpa bayi ditinggal depan rumah kosong

2010/08/11

GEMENCHEH: “Saya terkejut apabila melihat seorang bayi berbalut kain batik itu di depan sebuah rumah kosong,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Dua di sini, yang menemui seorang bayi dipercayai baru dilahirkan, pagi semalam.

Mahmod L Udor, berkata bayi perempuan yang cukup sifat itu masih bertali pusat dan berbalut kain batik tanpa sebarang nota atau barangan keperluan lain.


Menurutnya, dia menerima panggilan telefon daripada seorang penduduk yang melalui rumah kosong itu ternampak satu objek di dalam kain batik yang mencurigakan.


“Saya ke lokasi untuk membuat pemeriksaan dan menemui bayi itu.


“Mendapati bayi itu masih hidup, saya membawanya ke Klinik Kesihatan Air Kuning,”
katanya di sini, semalam.


Menurutnya, dia yakin bayi itu baru saja ditinggalkan di situ sebelum ditemui berdasarkan keadaannya.


“Saya yakin mereka yang meninggalkan bayi itu sengaja meletakkannya di depan rumah tidak berpenghuni itu supaya senang dilihat kerana kedudukannya di selekoh,” katanya.


Beliau yakin bayi itu bukan anak penduduk kampung berkenaan dan kejadian itu yang pertama berlaku di situ.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan ibu bayi berkenaan dan pada masa sama meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jumpabayiditinggaldepanrumahkosong/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...