Wednesday, August 11, 2010

Skim labur hangus

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Asmah Rusman

2010/08/11

KUALA LUMPUR: Untung berganda yang diimpikan sebaliknya berputih mata apabila beberapa mangsa yang menyertai satu skim pelaburan sebuah syarikat francais makanan kerugian lebih RM150,000 selepas duit dilaburkan lesap begitu saja.

Difahamkan, mangsa sebelum ini sanggup mempertaruhkan semua wang simpanan semata-mata dijanjikan dengan bayaran keuntungan RM10,500 setiap bulan yang akan diterima secara tetap selama 60 bulan.


Namun pihak syarikat dikatakan hanya membayar wang pulangan untuk tempoh beberapa bulan sebelum ‘hilang’ tanpa alasan sedangkan mangsa dijanjikan keuntungan penuh RM630,000.


Seorang mangsa yang juga pekerja syarikat swasta, Rahim Saat, 30, berkata, hajatnya untuk hidup mewah terbantut apabila dia gagal menerima sebarang pulangan walaupun sudah menuntut bayaran itu daripada syarikat berkenaan.


Dia mendakwa menyertai program berkenaan pada Oktober tahun lalu selepas dipujuk rakannya yang turut menyertainya.


“Saya hanya menerima bayaran keuntungan selama dua bulan saja sebelum pembayaran terbabit dihentikan tanpa sebarang notis atau sebab munasabah oleh syarikat yang beribu pejabat di Wangsa Maju, di sini.


“Apa yang pasti, pihak syarikat melanggar perjanjian bertulis yang ditandatangani sebelum 25 Oktober lalu yang menyatakan pembayaran keuntungan akan dibayar setiap bulan melalui akaun bank saya,”
katanya.


Menurutnya, dia sudah menghubungi staf yang bertugas dan memaklumkan kepada mereka mengenai perkara itu, namun mereka meminta mangsa memberi tempoh dua minggu sebelum menyelesaikan pembayaran.


“Malangnya selepas tempoh itu, saya langsung tidak menerima maklum balas daripada mereka menyebabkan saya datang ke ibu pejabat syarikat terbabit untuk membuat tuntutan,” katanya yang hadir ke pejabat Harian Metro.


Namun menurutnya, pihak syarikat sekali lagi memberi pelbagai alasan tidak munasabah antaranya pemilik syarikat sedang menunaikan umrah dan tiada siapa yang boleh menyelesaikan perkara itu yang sudah berlarutan sejak lebih tujuh bulan lalu.


Dia yang diminta menerangkan kaedah pelaburan terbabit mendakwa setiap mangsa perlu memilih salah satu daripada tiga pakej diberikan yang menjanjikan pulangan keuntungan secara bulanan.

“Pelaburan itu adalah proses pembelian peralatan berniaga sebelum disewakan kepada francaisor yang ingin berniaga sepenuh masa melalui urusan bersama syarikat.


“Keuntungan mereka itu akan menjadi pulangan kepada kami yang juga pemilik barangan terbabit. Tidak timbul sebarang keraguan kerana pembayaran diterima teratur pada awal pembabitan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Skimlaburhangus/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...