KUALA LUMPUR, 20 Dis: Penegasan Karpal Singh bahawa DAP  menerima Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan sedia berbincang dengan PAS  berhubung isu negara Islam, dilihat membuka satu episod baru, muafakat dalam  Pakatan Rakyat.
Sebelum ini, biarpun duduk sebumbung dibawah payung  Pakatan Rakyat, isu negara Islam antara yang dilihat masih menjadi tembok  pemisah antara PAS-DAP.Bagi  Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pendirian terbaru Karpal itu  ujarnya adalah satu kejayaan baru Pakatan Rakyat sekaligus meletakkan keakraban  ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP kini pada tahap terbaik.
Ketika  dihubungi Harakahdaily hari ini, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS  Pahang berkata, PAS mengalu-alukan keterbukaan DAP itu dan melihat ianya satu  perkembangan sangat positif dalam Pakatan Rakyat.
"Kita sangat alu-alukan  kenyataan positif sebegini. Kesediaan untuk berbincang isu negara Islam ini  adalah satu anjakan pemikiran besar oleh tokoh DAP itu,"  katanya.
Penegasan terbaru DAP itu juga katanya memperlihatkan komitmen  sebenar Pakatan Rakyat untuk mempertahankan Islam dan apa sahaja yang terkandung  dalam Perlembagaan negara.
Ianya juga sekaligus menolak dakwaan bahawa  Pakatan Rakyat akan menjual Islam dan Melayu jika menguasai pemerintahan  negara.
Beliau juga yakin, kenyataan Karpal itu akan menutup mulut Umno  BN dari terus memanipulasi isu yang sejak dahulu membelengu PAS dan DAP itu,  khususnya berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.
"Dalam isu negara  Islam ini, kita sebenarnya dikelirukan oleh permainan musuh-musuh  kita.
"Namun keterbukaan Karpal menerima Islam sebagai agama rasmi,  memperlihatkan satu komitmen bersungguh-sungguh DAP mempertahan Islam dan  perlembagaan negara," katanya lagi.Karpal yang juga Pengerusi kebangsaan DAP, sewaktu menyampaikan  ucapan penggulungan pada Konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Kepala Batas semalam  berkata, beliau mahu isu negara Islam segera dibincang oleh Pakatan Rakyat  kerana beliau tidak mahu BN mengeksploitasi isu tersebut dalam pilihan raya umum  akan datang.
DAP katanya boleh membincangkan isu tersebut dengan ketua  umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, mursyidul am PAS yang juga menteri besar  Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi  Awang.
Karpal juga meletakkan keyakinan, isu tersebut boleh mencapai  konsensus sekira satu perbincangan bersama diadakan.
Sehubungan itu, Tuan  Ibrahim memaklumkan satu pertemuan antara pemimpin ketiga-tiga parti dalam  Pakatan Rakyat itu akan dibuat secepat mungkin bagi merealisasikan hasrat  itu.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29931:negara-islam-karpal-tutup-mulut-umno&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124
 
 
No comments:
Post a Comment