Jun 18, 11
9:10am
Husam (kiri) berkata apa yang menjadi kebimbangan mereka adalah berhubung "kekurangan penguasaan wakil parlimen dari kalangan orang Melayu" sehingga dikatakan boleh menimbulkan ketidakseimbangan politik.
"Orang Melayu agak berhati-hati dalam perkara ini... Tugas PAS, (perlu) banyak (memenangi) kerusi Melayu untuk (memastikan) politik stabil dan mantap.
"Berubahlah daripada mengundi BN dan mengundi Pakatan. Jika 60 kerusi parlimen (kita ambil) daripada Umno, kita boleh menggantikan Umno... Nasihat saya, kita mesti berubah," katanya.
Husam berkata demikian selaku panel forum bertajuk Cabaran Transformasi Parti Politik: Ke Arah Pertengahan dalam Kemajmukan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur malam semalam.
Tidak cukup kerusi
Turut menjadi panel  adalah penyelidik politik Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) Ooi Heng dan  pemerhati politik Lee Ban Chen.Bercakap di hadapan kira-kiranya 50 hadirin, Husam berkata  pilihan raya Sarawak yang lalu menyaksikan sokongan kaum Cina meningkat sebanyak  15.8 peratus menjadikan jumlah keseluruhannya 75.4 peratus, berbanding dengan  kaum Melayu.
"Kita lihat trend ini berterusan di Sabah, Johor, Negeri  Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Selangor, maka kita dapat tambahan kerusi  sebanyak 27 kerusi (parlimen) berbanding 82 kerusi (sekarang).
"Dalam  pilihan raya umum ke-13, kita mempunyai 109 kerusi, tidak cukup lima kerusi  untuk menubuhkan kerajaan,"Oleh itu, kita merayu kepada tuan-tuan, untuk mengundi  Pakatan Rakyat (dalam pilihan raya umum akan datang)," katanya sambil disambut  dengan gelak ketawa hadirin - yang rata-ratanya dari kaum  Cina.
Menurutnya lagi, jika kecenderungan itu berterusan, ia memberikan  kebaikan kepada kaum Cina walapun ada pihak yang mendakwa kaum tersebut tidak  mengenang jasa.
Beliau juga berpendapat, golongan India Muslim yang  merangkumi empat peratus daripada pengundi dilihat "kurang menyertai" parti  Islam itu.
Calon sesuai
Katanya, sekiranya kumpulan  tersebut menyokong PAS, ia memberikan kelebihan dan memudahkan parti itu untuk  merangka sesuatu polisi.Husam berkata antara cabaran parti itu adalah untuk  memastikan calon yang sesuai termasuk calon bukan Islam bertanding atas tiket  PAS pada pilihan raya umum akan datang.
Menurutnya, parti itu memerlukan  "tokoh yang berintegriti dan mampu memikul amanah" bagi memastikan sokongan  khususnya daripada bukan Islam kepada PAS.
"Jadi tuan-tuan kena beri  input dan tunjukkan di mana kerusinya yang boleh diwakili oleh wakil (kita)...  Dasar PAS adalah semua orang tanpa kaum, bersama-sama dalam perjuangan,"  katanya.
Menjawab soalan sama ada PAS berpeluang menang pada pilihan raya  umum akan datang di Terangganu, Husam yang juga timbalan pesuruhjaya PAS  Kelantan yakin perubahan politik akan berlaku di negeri pantai timur  itu.Pada pandangannya, unjuran boleh dibuat berdasarkan kepada  kehadiran dan sambutan luar biasa dalam siri-siri ceramah di negeri itu termasuk  kutipan derma yang banyak diterima.
Husam yang juga ADUN Salor berkata  perlantikan pesuruhjaya PAS negeri baru - Mohd Abdul Wahid Endut - mampu untuk  membuat perubahan politik termasuk merampas beberapa kerusi parlimen di negeri  itu.
Dasar liberal
Sementara itu, Lee pula  berkata antara cabaran yang perlu dihadapi oleh kepimpinan PAS yang baru dipilih  dalam muktamar baru-baru ini dengan menjalankan dasar yang liberal, inklusif dan  progresif.
Beliau berharap hasrat tersebut dapat dipenuhi oleh kepimpinan  baru itu khususnya kepada masyarakat bukan Islam.Menurutnya lagi, kehadiran PAS dan Pakatan Rakyat dalam  persada politik tanah air juga boleh menjadi pengimbang dan mengurangkan  ketegangan antara kaum.
"Saya berharap PAS dan Pakatan dapat mencapai  satu persefahaman yang dapat mengendurkan suasana tegang dan menjadikan  persahabatan antara kaum lebih teguh berasaskan prinsip demokrasi.
"Melalui politik permuafakatan, maka (suasana politik) pada masa akan datang akan lebih cerah," katanya.
http://malaysiakini.com/news/167277
 
 
No comments:
Post a Comment