Bagaimanapun, kata perdana menteri, parti itu tidak akan berbuat demikian kerana ia bukannya cara yang bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian.
"Kita (Umno) ada tiga juta ahli, tidak termasuk parti komponen (Barisan Nasional)...kita boleh kumpulkan tiga juta orang yang tunggu isyarat. Kalau semboyan dibunyi, mereka juga akan berjuang habis-habisan... tetapi apakah itu satu cara yang bertanggungjawab," katanya.
Perdana menteri menegaskan demikian semasa berucap kepada hadirin yang  menyambut kunjungan beliau di pekan pesisir pantai ini, kira-kira 150km ke  selatan Kota Kinabalu hari ini.
Najib berkata kerajaan Barisan Nasional  adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan tidak mahukan kekerasan kerana  menurutnya, "itu bukan cara kita selesaikan masalah di bumi Malaysia  ini".
Menurutnya pilihan raya sentiasa diadakan di Malaysia apabila tiba  waktunya dan semua pihak boleh ambil bahagian semasa kempen.
"Kita ada  pilihan raya... nak kempen, kempen lah, nak berucap sampai tak larat lagi nak  cakap, buatlah, nak bertempek pun, tempeklah," kata Najib yang sebelum itu  berkunjung ke daerah pedalaman Tenom, di barat daya Sabah.
"Mereka kata  bersih... belum tahu dia bersih. Dia (pembangkang) pun ada banyak masalah," kata  Najib.
Perdana menteri menegaskan Malaysia bukannya seperti negara  tertentu di mana pemerintahnya menang 95 peratus undi semasa pilihan raya yang  pastinya banyak pihak yang mencurigai keputusan pilihan raya.
"Di  Malaysia tidak pernah berlaku seperti itu. Kita menang sebab rakyat support  (sokong). Saya tak rela jadi perdana menteri atas penipuan. Saya nak jadi  perdana menteri kerana rakyat sukakan kita (BN) dan rakyat percaya dan senang  dengan BN," katanya.
Atas kepercayaan rakyat terhadap BN, kata beliau,  kerajaan akan bekerja keras dan bersungguh-sungguh untuk perjuangkan nasib  rakyat.
Najib berkata Malaysia kini berada di ambang transformasi ke arah  menjadi negara yang lebih maju dan sejahtera dengan pelan pembangunan yang jelas  dan hanya menunggu masa untuk melaksanakannya.
"Tetapi apakah ini harus  dikorbankan semata-mata kerana hawa nafsu sesetengah pihak yang nak kejar  jawatan perdana menteri, hendak menguasai Putrajaya?" katanya.
Najib  mengingatkan bahawa demonstrasi jalanan seperti dirancang pada 9 Julai boleh  membawa kecelakaan dengan sekelip mata, lebih-lebih lagi apabila pihak tertentu  membakar emosi dan perasaan orang ramai.
Katanya jika ada pihak yang  menjadi "tukang kipas, tukang bakar" emosi semasa perhimpunan haram itu,  golongan yang bakal menjadi mangsa adalah juga "rakan kita, keluarga  kita".
Beliau berkata apabila berlaku "psikologi samseng", orang yang  baik akan tiba-tiba bertukar menjadi ganas dan tidak boleh dikawal sehingga  tidak kira harta benda atau nyawa orang lain terancam.
Perdana menteri  seterusnya menegaskan pentingnya gagasan 1Malaysia dihayati oleh seluruh rakyat  Malaysia agar ia bukan sekadar menjadi slogan yang menjadi sebutan atau paparan  semata-mata, sebaliknya diterjemahkan sehingga menjadi nilai pegangan, sikap dan  cara pemikiran rakyat Malaysia.
Katanya, beliau mendapati keharmonian  yang wujud di Sabah merupakan contoh terbaik konsep 1Malaysia bagi membolehkan  rakyat pelbagai kaum hidup aman damai tanpa sebarang tembok pemisah.
Di  majlis itu, perdana menteri mengumumkan peruntukan RM30 juta untuk membina  semula Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang dan peruntukan RM2.7 juta untuk  memperbaiki bumbung Esplanade Sipitang yang sebelum in sering mengalami  kerosakan akibat ditiup angin kencang.
Hadir sama ialah ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan beberapa wakil  rakyat tempatan parti komponen BN.
- Bernama
http://malaysiakini.com/news/168480
 
 
No comments:
Post a Comment