Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata usaha itu bertujuan membolehkan mereka melihat dan menilai perjalanan pilihan raya daripada segi bebas, telus dan adil.
Bagaimanapun, SPR akan mengkaji kesesuaian perkara tersebut  serta faktor kewangan sebelum membuat keputusan walaupun kehadiran pemerhati  antarabangsa merupakan satu amalan yang baik, katanya dalam temuramah dengan  TV3 dan Bernama, di Bangkok.
Beliau berada di sini sebagai pemerhati antarabangsa atas jemputan  Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand untuk memantau perjalanan pilihan raya yang  akan diadakan Ahad ini. Malaysia adalah antara 13 negara yang  dijemput.
Abdul Aziz berkata SPR tidak pernah menjemput pemerhati  antarabangsa pada pilihan raya umum sebelum ini.
Katanya, SPR Thailand  menjemput pemerhati antarabangsa bagi meningkatkan lagi keyakinan pengundi  mereka dan masyarakat antarabangsa bahawa pilihan raya mereka adalah adil dan  telus.
Beliau berkata jemputan itu adalah satu penghormatan kepada SPR  kerana SPR dipercayai sebagai badan yang banyak mengendalikan pilihan raya dan  mereka yakin pilihan raya Malaysia telus dan bebas.
"Kalau mereka tak iktiraf  pilihan raya kita, tak kan mereka panggil kita datang sebagai pemerhati  antarabangsa," katanya.
Ditanya secara umum kayu pengukur pemerhati  antarabangsa sama ada sesuatu pilihan raya itu telus dan bebas, beliau berkata  asasnya adalah pengundi bebas untuk mengundi dengan tidak dipengaruhi oleh  perkara-perkara yang tidak bebas untuk mengundi atau terpaksa mengundi sesuatu  pihak sahaja.
Calon-calon pula, katanya, bebas untuk berkempen dengan  tiada sekatan dan pengundi pula dapat mendengar kempen dengan  bebas.
Aspek kayu pengukur lain termasuk tiada penipuan dan rasuah,  katanya.
Mengenai permintaan lapan perkara oleh Gabungan Pilihan Raya  Bersih dan Adil (Bersih), Abdul Aziz berkata ruang untuk penambahbaikan memang  sentiasa ada kerana SPR tidak menganggapnya sebagai badan yang  sempurna.
Beliau menghuraikan satu persatu usaha yang dibuat oleh SPR  terhadap lapan permintaan berkenaan:
* Pembersihan daftar pemilih --  usaha itu dilakukan setiap hari tetapi SPR tidak boleh membersihkannya sendiri  kerana pengundi yang perlu memaklumkan status mereka dalam daftar tersebut.  Katanya tidak ada bukti dakwaan wujudnya pengundi mengundi lebih daripada sekali  dan tiada satu pun kes seumpama itu yang dibawa ke mahkamah.
* Tempoh  berkempen sekurang-kurangnya 21 hari -- perkara itu sedang diteliti kerana ada  juga parti yang meminta supaya tempoh berkempen dipendekkan dan pandangan aspek  keselamatan juga terpaksa diambil kira.
* Penggunaan dakwat celup jari  pengundi -- SPR sedang meneliti untuk menggunakan kaedah biometrik yang lebih  sainstifik.
* Kemudahan akses yang bebas dan adil kepada media -- Abdul  Aziz berkata beliau tidak boleh mengarahkan media untuk memberi liputan kepada  sesuatu pihak. Bagaimanapun, beliau boleh berbincang dengan media untuk memberi  ruang kepada semua pihak.
* Cadang banteras rasuah -- SPR memang  bersetuju tetapi ia tidak mempunyai kemahiran dalam bidang itu dan terpaksa  meminta bantuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
* Cadang perkukuh  institusi polis -- SPR tidak mempunyai kuasa terhadap perkara tersebut.
*  Pembaharuan sistem undi pos -- SPR sedang meneliti perkara tersebut termasuk  cadangan untuk mengadakan undian awal seperti amalan di Thailand dengan pengundi  bebas untuk mengundi pada hari yang ditetapkan lebih awal atau pada hari  pengundian tetapi perkara tersebut juga mempunyai masalah tersendiri.
*  Kebebasan berkempen -- Parti politik sememangnya bebas berkempen tetapi terpaksa  memohon permit polis atas sebab-sebab keselamatan kerana polis, antara lain,  meneliti kesesuaian tempat, isu-isu yang menyentuh perpaduan kaum dan agama  serta aspek lalu lintas.
Oleh itu, Abdul Aziz berkata ada perkara yang  berada dalam bidang kuasa SPR dan ada juga perkara yang bukan dalam bidang kuasa  SPR berhubung lapan perkara berkenaan.
Beliau berkata pada mulanya Bersih  mengemukakan 17 perkara tetapi setelah berbincang, tinggal lapan perkara sahaja  sejak akhir tahun lepas kerana yang lainnya sudah diselesaikan oleh  SPR.
"Kalau Bersih meneruskan perbincangan dengan SPR, mungkin tinggal  tiga perkara yang belum selesai.
"Demonstrasi tidak akan menyelesaikan  masalah. Tidak bermakna buat demostrasi, SPR akan bersetuju," katanya merujuk  kepada cadangan perhimpunan haram yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 9  Julai.
- Bernama
http://malaysiakini.com/news/168587
 
 
No comments:
Post a Comment