KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Persatuan Anak Peneroka Felda  Kebangsaan (Anak) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah  Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna wang Felda.
Presidennya,  Mazlan Aliman berkata, ia ekoran tiada sebarang penjelasan daripada Timbalan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berhubung pinjaman RM6  bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurutnya,  sehingga hari ini Ahmad belum menjawab persoalan mengenai tujuan Felda membuat  pinjaman dengan jumlah yang besar itu.
Namun kata Mazlan, terdapat  desas-desus mengatakan RM1.5 bilion daripada RM6 bilion itu digunakan untuk  membeli kilang gula, Malayan Sugar Manufacturing Co Sdn Bhd (MSM) yang sebelum  ini dimiliki oleh Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok.
"Saya pernah buat  laporan polis berhubung perkara ini tapi sehingga sekarang tiada sebarang  penjelasan daripada Datuk Ahmad Maslan mahupun Felda.
"Saya cuma terima  surat daripada balai polis mengatakan kes ini harus dirujuk kepada SPRM tanpa  mendapat apa-apa penjelsan daripada Ahmad Maslan," kata beliau pada sidang media  di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.
Beliau akan  menamakan beberapa individu dalam laporan kepada SPRM itu termasuk Perdana  Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, Ketua  Pengarah Felda Datuk Dzulkifli Abdul Wahab selain Ahmad sendiri.
Mazlan  juga berkata, pihaknya turut bimbang pinjaman itu digunakan secara tidak  berhemah dan akan memberi implikasi buruk kepada aset yang dimiliki peneroka.
Deretan saman terhadap Felda
Sementara itu,  Mazlan berkata, reputasi Felda terjejas teruk apabila terpaksa berhadapan dengan  siri saman daripada peneroka berhubung dakwaan penipuan dan pecah  amanah.
Ini sekaligus membuktikan peneroka sudah sedar bahawa mereka  tertidas di bawah pentadbiran Felda.
“Ketika ini Felda berdepan dengan  siri saman di seluruh negara dan jumlah itu semakin meningkat sehingga  peguam-peguam kita seolah-olah tidak menang tangan dengan keghairahan peneroka  yang mahu memfailkan saman.
Felda antaranya berhadapan saman daripada  peneroka di Negeri Sembilan,Johor, Pahang dan Kelantan malah peneroka di Felda  Kemahang 3, Kelantan pada Ogos lalu menang saman dan menerima ganti rugi  sejumlah RM11 juta daripada Felda.
Sehubungan itu kata Mazlan, Felda  seharusnya memberikan ruang kepada peneroka untuk menyatakan masalah dan  menuntut hak mereka.
"Saya berulang kali kata Felda kena ada perundingan  di antara Felda dengan peneroka.
"Dulu kita mahu berdialog dengan Ahmad  Maslan tapi sehingga sekarang belum tentukan tarikhnya," katanya.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4954-anak-bawa-isu-pinjaman-rm6-bilion-felda-ke-sprm
 
 
No comments:
Post a Comment