KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Empat bekas anggota tentera mengakui  pilihanraya di negara ini tidak bersih dan tidak adil, sehingga mereka sendiri  mengakui pernah memangkah ribuan kertas undi pos anggota-anggota tentera lain  dan kertas-kertas undi isteri anggota tentera, atas arahan pegawai  atasannya.
Ketika itu, mereka  melakukannya tanpa rasa bersalah setelah diarahkan berbuat demikian, tambahan  pula mereka sendiri tidak pernah mengambil berat soal pilihanraya, pembuangan  undi dan politik tanah air.
Seorang bekas tentera, Mohamed Nasir Ahmad,  50, mengakui pernah memangkah 400 kertas undi pos bagi pihak anggota tentera  lain pada pilihanraya umum tahun 1986 lalu ketika bertugas di  Sabah.
Menurut beliau, perbuatan itu dilakukan setelah menerima arahan  pegawai atasannya dan arahan itu pula dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab  sesuai dengan disiplin tentera.
"Saya bertugas di bahagian perkeranian.  Saya bertugas di Sabah selama 4 tahun. Sebelum bertugas di Sabah, saya pernah  bertugas di Mindef dan kemudian di beberapa tempat lain lagi. 
"Walaupun  arahan dan pekerjaan itu hanya sekali sahaja saya terima dan saya lakukan  sepanjang saya berkhidmat dalam tentera sehingga saya bersara cukup tempoh pada  tahun 1998 lalu, tetapi saya tetap rasa bersalah sehingga sekarang," jelasnya  pada sidang media di Pejabat Agong PAS, di sini, hari ini. 
Seorang lagi  bekas anggota tentera, Kamarulzaman Ibrahim, 53, mengakui telah memangkah ribuan  kertas undi pos selama 3 hari sehingga lenguh.  
Perbuatan tersebut  dilakukan setelah menerima arahan dari pegawai atasannya pada Pilihan Raya Umum  (PRU) Ke-7 pada tahun 1986 lalu ketika sedang bertugas di Kem Terendak, Melaka.  
Beliau yang bertugas sebagai kerani tadbir menjelaskan, selain  memangkah kertas-kertas undi pos tentera sebanyak dua karung dengan angka ribuan  itu, beliau turut menandatangan setiap borang yang dikepilkan bersama  kertas-kertas undi tersebut.
"Ketika memangkah kertas-kertas undi itu,  saya terpaksa menggunakan tiga jenis pen berlainan warna bagi mengelak dikesan.  Jumlahnya memang banyak, sebanyak 2 karung, tetapi saya tak tahu jumlahnya, yang  nyata ribuan, hingga lenguh tangan. 
"Pen tiga batang ada dalam kocek  saya dan saya isu borang sampai terpaksa tanggal baju kerana panas sebab dulu  mana ada kipas. Saya perlu isi banyak nama dan pangkah banyak borang, jadi pen  nak kena banyak,” katanya yang bersara pada tahun 1991 lalu. 
Beliau yang tinggal di Johor turut mengakui kertas-kertas  undi pos yang dipangkahnya itu melibatkan anggota-anggota tentera di seluruh  negara dan melibatkan pengundian untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri  (Dun). 
"Saya berbuat demikian kerana "sekadar menurut perintah." Kini  saya sedar apa yang saya lakukan itu adalah salah. Jadi saya turut tampil  membuat pengakuan pada hari ini supaya semua orang tahu mengenai kepincangan  pilihanraya di negara kita," katanya.
Sementara itu, Mejar (B) Risman  Mastor, 64, pula mengakui turut diarahkan memangkah puluhan kertas undi pos  ketika bertugas di Kem Kampung Sawah, Port Dickson, Negeri Sembilan pada PRU  tahun 1978 lalu. 
"Jika kepada rakan-rakan saya yang lain, mereka  diarahkan memangkah BN, kepada saya berbeza pula. Saya diarah oleh  pegawai  atasan saya supaya memangkah pembangkang sebagai tanda protes kepada  kerajaan.
“Puncanya, ketika itu kami marah pasal gaji sebab ketika itu  gaji kami sangat rendah jika hendak dibandingkan dengan guru. Kami  dianaktirikan, kami berjuang demi negara, kawan-kawan kami ada yang kudung kaki,  kami berjuang demi mempertahankan negara, tapi apa yang kami  dapat?”
"Disebabkan tidak puas hati dengan perkara itu, pegawai atasan  kami telah mengarahkan saya memberikan undi kepada pembangkang, walaupun  jumlahnya sekitar 20 hingga 30 kertas undi sahaja," katanya yang bersara pada  tahun 1996 lalu. 
Manakala seorang lagi bekas tentera, Mohd Kamil Omar,  49, dari unit Komandor TUDM menjelaskan, meskipun tidak pernah menerima arahan  memangkah kertas-kertas undi pos, tapi beberapa karung kertas undi pos yang  telah dipangkah oleh rakan-rakannya bagi pihak rakan-rakan tenteranya yang lain  pernah dilihat dengan jelas di hadapan matanya sendiri. 
"Namun ketika  itu, kami anggota tentera tidak mempedulikan sangat tentang politik, tentang  pilihanraya. Kami tak pernah mengambil tahu sama ada pilihan raya di negeri kita  besih atau tidak, adil atau tidak.
"Kini menerusi perjuangan Bersih 2.0,  barulah banyak anggota tentera yang sedar mengenai perkara itu. Mujur jugalah  adanya perjuangan Bersih 2.0. Kalau tidak banyak anggota tentera akan terus  tidak mengetahui perkara itu, malah ada yang langsung tak tahu hak mereka  sendiri dalam pilihanraya," ujar beliau.
Kunjungan mereka ke Pejabat  Agung PAS ditemani Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi, Dewan Pemuda  PAS Malaysia yang juga Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4964-bekas-tentera-mengaku-qtolong-pangkahq-undi
 
 
No comments:
Post a Comment