Friday, July 30, 2010

Tinggal rangka

2010/07/30

JOHOR BAHRU: Sekumpulan pencuri kereta yang mampu meleraikan kenderaan dicuri dalam tempoh singkat tumpas ketika sedang sibuk meleraikan sebuah Hyundai Matrix di ladang kelapa sawit, di Kempas, di sini, 22 Julai lalu.

Malah, ketika serbuan jam 1.15 tengah hari oleh pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara itu, tujuh anggota sindiket terbabit sudah memotong Hyundai Matrix berkenaan kepada dua bahagian bagi memudahkan kerja mengambil komponen dilakukan.


Polis juga merampas badan kenderaan dan komponen yang dileraikan, pelbagai peralatan pecah rumah, kapak, pemotong besi, kuku kambing dan pisau.


Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, semua yang ditahan berusia antara 18 hingga 25 tahun dan dipercayai terbabit dengan banyak kes curi kenderaan.


“Siasatan masih dijalankan dan tidak terhenti dengan tumpasnya tujuh suspek itu. Kami sudah menubuhkan pasukan khas mengesan individu yang berkaitan.


“Pasukan khas itu akan menyiasat di mana komponen dileraikan, siapa penjual serta pembeli dan modus operandi (MO) digunakan mereka,
katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tinggalrangka/Article

Geng Kelantan lumpuh

Oleh Suraya Roslan

2010/07/30

KUALA LUMPUR: Kegiatan sindiket curi kereta digelar ‘Geng Kelantan’ yang bergiat aktif sejak beberapa tahun lalu lumpuh apabila lima lelaki dipercayai dalang kegiatan itu diberkas polis dalam beberapa serbuan berasingan di Petaling Jaya dan Shah Alam, awal pagi semalam.

Kumpulan itu hanya mencuri kereta atau motosikal sebaik menerima tempahan daripada pelanggan bagi mengelak mereka menyimpan kereta curi itu dalam tempoh lama. Malah, harga jualan ditawarkan juga lebih murah. Mereka begitu mahir dan mampu melarikan kereta atau motosikal curi dengan hanya menghidupkan enjin menggunakan wayar tertentu.


Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, kegiatan kumpulan itu ditumpaskan sebaik dua ahli geng itu ditahan kira-kira jam 12.45 tengah hari, Rabu lalu selepas berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan bengkel di Jalan Murni 2, Pantai Dalam di sini.


“Sebaik polis menyuruh mereka berhenti untuk pemeriksaan, dua suspek itu cuba melarikan diri tetapi gagal.


“Hasil pemeriksaan mangsa mendapati kereta mangsa tidak memiliki starter, sebaliknya enjin dihidupkan menggunakan wayar,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.


Wan Abdul Bari berkata, susulan tangkapan itu, polis menahan tiga lagi suspek di tiga lokasi berasingan di Shah Alam.


“Tiga suspek yang ditahan berusia antara 25 hingga 45 tahun itu berasal dari Kelantan dan aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak beberapa tahun lalu, malah mereka mendakwa hanya mencuri kenderaan yang diingini pelanggan” katanya.


Menurutnya, sindiket berkenaan bijak menyembunyikan kegiatan haram itu dengan menjual kereta yang dicuri kepada pelanggan yang dikenali saja di sekitar Lembah Klang.


“Hasil penahanan suspek, polis yang menjalankan siasatan menemui semula 14 kereta dicuri yang dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang sejak enam hari lalu. “Semua kereta berkenaan dianggarkan bernilai hampir RM500,000.


“Antara kereta yang dicuri termasuk Nissan Sunny, Toyota Camry, Proton Wira dan motosikal Yamaha,”
katanya.


Lima suspek direman tiga hari bermula tarikh tangkapan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GengKelantanlumpuh/Article

Liong Sik didakwa tipu kerajaan


LIONG SIK (tengah) ketika merasmikan Sistem Pembersihan Laut Pelabuhan Barat di Pulau Indah pada 10 September 2000.


PUTRAJAYA - Bekas Menteri Pengangkutan dan mantan Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang.

Liong Sik, 67, yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 17 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2003 didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 418 dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Hakim Suzana Hussin membenarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 3 September ini untuk sebutan kes.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengetuai pendakwaan dan dibantu oleh Ketua Bahagian Pendakwaan, Datuk Tun Majid Tun Hamzah, Dzulkifli Ahmad dan Manoj Kurup manakala Liong Sik diwakili peguam Datuk R.R. Sethu.

Para wartawan dan jurugambar yang menanti sejak pagi selepas tersebarnya berita seorang kenamaan akan didakwa hanya mengetahui identiti tertuduh apabila Liong Sik tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 4.36 petang bersama isterinya, Toh Puan Ena Ling.

Beliau yang berbaju biru belang masuk ke dalam mahkamah pada pukul 4.43 petang dan terus duduk di kandang tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Liong Sik didakwa telah menipu Kerajaan Malaysia antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Beliau dituduh memperdaya Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn. Bhd. dengan Lembaga Pelabuhan Klang yang antara lainnya ialah:

Luas tanah ialah 999.5 ekar (399.8 hektar) atau 43,538,200 kaki persegi (3,918,438 meter persegi).

Kadar pembelian tanah adalah sebanyak RM25 satu kaki persegi menjadikan jumlah pembelian sebanyak RM1,088,456.

Tempoh pembayaran balik berdasarkan kaedah bayaran tertangguh selama 15 tahun dengan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun (jumlah RM720,014,600) dan dengan curangnya menyembunyikan fakta bahawa penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah tersebut pada kadar RM25 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 10 tahun atau RM25.82 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 15 tahun, adalah termasuk kupon/faedah yang boleh dikenakan untuk tempoh bayaran balik tersebut.

Dengan demikian, beliau telah dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan kepada pembelian tanah tersebut yang mana Jemaah Menteri tidak akan memberikan persetujuan sekiranya fakta itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Penipuan itu dilakukan dengan mengetahui bahawa tertuduh boleh menyebabkan kehilangan salah kepada Kerajaan Malaysia yang kepentingannya dalam urusan yang berkaitan dengan penipuan itu bahawa tertuduh terikat oleh suatu kontrak di sisi undang-undang untuk melindungi dan dengan demikian telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan.

Liong Sik merupakan individu kelima berkedudukan tinggi yang didakwa berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Akhir tahun lepas, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka O.C. Phang dan tiga lagi didakwa melakukan pecah amanah dan menipu dengan membuat tuntutan palsu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0730&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Liong Sik didakwa

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad

2010/07/30

PUTRAJAYA: Penantian puluhan pengamal media tempatan dan luar negara di Mahkamah Sesyen Putrajaya, di sini, kononnya ada pemimpin politik terkenal bakal didakwa di mahkamah itu berakhir, apabila bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik disahkan sebagai individu yang dimaksudkan itu, semalam.

Malah, penantian yang bermula seawal jam 9 pagi itu menjadikan lobi dan pintu masuk mahkamah sebagai kawasan sasaran selepas ‘khabar angin’ berkaitan kehadiran bekas pemimpin politik itu akan dihadapkan ke mahkamah. Bekas Presiden MCA berusia 67 tahun yang berkemeja lengan pendek berjalur biru itu hadir di mahkamah sambil diiringi isteri, Toh Puan Ena Ling dan dua lelaki dipercayai anaknya, kira-kira jam 4.40 petang.


Beliau didakwa menipu kerajaan dengan memperdayakan Jemaah Menteri bagi memberikan persetujuan terhadap pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang, Selangor.


Sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan, Hakim Suzana Hussin, Dr Ling yang berada di kandang tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.


Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin terhadap tertuduh. Beliau dituduh mengikut Seksyen 418, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan dan beliau juga diberikan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 417, Kanun Keseksaan.


Pendakwaan dilakukan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, dibantu Ketua Bahagian Pendakwaan, Datuk Tun Majid Tun Hamzah, Dzulkifli Ahmad dan Manoj Kurup, manakala Dr Ling diwakili peguam Datuk R R Sethu.


Mahkamah kemudian menetapkan 3 September depan bagi sebutan semula kes itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/LiongSikdidakwa/Article

Bekas peninju ke tali gantung



Oleh Iskandar Shah Mohamed

2010/07/30

SEREMBAN: Seorang bekas peninju remaja Negeri Sembilan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, atas tuduhan membunuh seorang wanita hamil lapan bulan dan suaminya di sekitar Senawang, di sini, tiga tahun lalu.

 BERSALAH ...Mohamad Azli dibawa keluar oleh  polis dari mahkamah, semalam.
BERSALAH ...Mohamad Azli dibawa keluar oleh polis dari mahkamah, semalam.
Mohamad Azli Azhari, 23, berbaju hitam dan berseluar jeans biru kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yassin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Syed Herie Azmi Syed Kassim, 25, antara jam 8 hingga 10 pagi di sebuah rumah di Jalan Desa Anggerik, Taman Desa Anggerik, Senawang, di sini.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Azli turut melakukan kesalahan sama terhadap Aniza Ayob, 24, di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Berikutan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memberitahu dua rakannya dia membunuh pasangan suami isteri terbabit menggunakan senjata tajam.

Pemeriksaan mendapati kesan kecederaan teruk dialami kedua-dua si mati iaitu kesan tetakan ditemui pada tubuh Syed Herie manakala isterinya yang juga kakitangan kerajaan mempunyai kesan tikaman pada leher.

Ahmad Nasfy dalam penghakimannya berkata, pendakwaan membuktikan kes prima facie berikutan semua bukti menunjukkan tertuduh membunuh pasangan yang baru lapan bulan bergelar suami isteri itu.

“Selepas kejadian, kamu (tertuduh) didapati membuat pengakuan kepada dua rakan bahawa sudah membunuh Syed Herie yang juga dikenali sebagai ‘Along Santan’ dan Aniza.

“Selain itu, fakta bahawa kamu menggunakan sebilah pisau untuk menikam sehingga menyebabkan kecederaan pada organ si mati membuktikan bahawa kamu berniat untuk membunuh.


“Mahkamah turut menolak hujah pihak pembelaan iaitu berlaku pertengkaran antara pasangan itu ketika kejadian sebelum mereka menetak sesama sendiri,” katanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala peguam Hanif Hassan mewakili Mohd Azli.

Sementara itu, ibu Syed Herie berusia lewat 40-an yang enggan dikenali berkata, dia tidak menyangka perkara itu akan berakhir sebegitu.

Penumbuk jawab pertanyaan isteri



Oleh Hadzlihady Hassan

2010/07/30

AMPANG: “Abang pergi dengan siapa? Lelaki ke perempuan?” Dua pertanyaan itu menyebabkan seorang wanita cedera di muka selepas ditumbuk suaminya yang bengang diajukan soalan itu.

Bukan sekadar ditumbuk, mangsa berusia 20-an turut ditarik rambut dan dimaki-hamun dengan pelbagai kata-kata kesat.

Kejadian berlaku dalam kereta ketika pasangan suami isteri bersama anak mereka berusia dua tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Pandan Indah di sini, kira-kira jam 10 malam, 22 Julai lalu.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami pendarahan di hidung dan bengkak di muka selain sakit di kepalanya akibat rambut ditarik dengan kuat.

Menurut sumber, ketika berada dalam kereta berhampiran sebuah pasar raya, wanita itu bertanyakan suaminya yang bekerja sebagai kerani berhubung tugasan luar daerah yang perlu dihadiri lelaki itu di utara Semenanjung, hujung minggu ini.

“Pergaduhan tercetus hanya disebabkan mangsa bertanya dengan siapa suaminya pergi, sama ada dengan teman sekerja lelaki atau perempuan.

“Selepas puas membelasah, lelaki itu menghantar isteri dan anaknya pulang sebelum dia beredar meninggalkan rumah,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa yang tidak berpuas hati membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Difahamkan, rumah tangga pasangan itu memang sudah bergolak dan kejadian ini kali kedua berlaku kepada mangsa. Sebelum ini, dia pernah ditumbuk di hidung tiga tahun lalu.

Sebelum ini, mangsa enggan membuat laporan polis, namun kali ini dia nekad kerana sudah tidak tahan dengan perangai panas baran suaminya.

Dalam kejadian berasingan, tindakan cuba mempertahankan isteri dan anak daripada dibawa pulang keluarga mentua, seorang lelaki cedera selepas bergaduh dengan abang iparnya di Kampung Melayu Ampang di sini, Sabtu lalu.

Difahamkan, abang iparnya datang ke rumah mangsa kerana mahu menjemput isteri mangsa yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak sulung bersama ibunya.

Bagaimanapun, isteri mangsa enggan kerana tidak mahu berjauhan dengan suami selain tidak mahu menyusahkan keluarga.

Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika mangsa sedang tidur dalam bilik sebelum didatangi isterinya yang menangis teresak-esak.

“Isterinya memaklumkan dia dimarahi ibunya manakala abangnya dalam perjalanan untuk mengambil mereka berdua. Mentua mangsa memang berada di rumah berkenaan kerana menjaga isteri mangsa yang sedang berpantang. Isterinya juga memberitahu enggan mengikut kemahuan mereka,” katanya.

Menurutnya, keluarga isterinya mahu membawa wanita terbabit pulang kerana mendakwa mangsa yang bekerja sebagai jurujual di pasar tidak mampu menjaga isteri dan anak kerana selalu mengalami masalah kewangan.

“Mangsa memaklumkan keputusan isterinya kepada mentua dan abang iparnya yang baru tiba di rumahnya. Namun, mentuanya terus memarahi dan mula menolak isteri mangsa membuatkan mangsa tidak berpuas hati dengan tindakan itu,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa cuba menghalang mentuanya dengan menepis tangan wanita terbabit.

“Ketika itulah, abang iparnya masuk campur dan mendakwa mangsa cuba memukul ibunya sebelum berlaku pertengkaran antara mereka sebelum keadaan reda sementara apabila mangsa mengizinkan isterinya mengikut keluarganya pulang ke rumah mereka.

“Bagaimanapun, mangsa mengubah fikiran apabila melihat isterinya menangis kerana enggan berpisah dengannya. Selepas gagal berbincang, mangsa membelasah abang iparnya dengan sebatang besi kerana terlalu geram.

“Abang iparnya membalas dengan memukulnya menggunakan sebatang kayu. Akibatnya, mangsa menerima lapan jahitan di kepala, patah tangan selain telinganya koyak,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian berjaya melarikan diri sebelum mendapatkan rawatan dan membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kedua-dua kejadian pergaduhan akibat masalah rumah tangga itu.

Dedah 10 ciri skim piramid

2010/07/30

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan bekerjasama dengan media untuk menyiarkan dan menjelaskan mengenai 10 ciri skim piramid yang perlu diketahui orang ramai bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata 10 ciri itu dirangka kementeriannya sebelum didedahkan kepada umum apabila Akta Jualan Langsung (Pindaan 2001) diluluskan selepas dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, minggu lalu dan akan dilaksanakan tidak lama lagi.


Beliau berkata, kerajaan memandang serius kewujudan skim piramid apabila meminda Akta Jualan Langsung (Pindaan 2010) ketika sesi persidangan Parlimen baru-baru ini dengan memasukkan satu bahagian khusus bagi skim itu membabitkan hukuman lebih berat iaitu kompaun sehingga RM5 juta dan RM10 juta untuk kesalahan seterusnya, selain hukuman penjara.


“Jadi, orang ramai patut mengambil perhatian dan memahami mengenai sesuatu sistem yang ditawarkan. Kami sudah banyak kali mengingatkan, kalau sistem yang dijual tidak mempunyai produk, tetapi sekadar merekrut ahli, itu sistem piramid.


Kalau dapat bonus kerana mendapat agen di bawah (down line) yang mencari agen seterusnya dan setiap peringkat itu mendapat komisen tanpa menjual produk atau produk dijual tidak setimpal iaitu terlalu mahal, ia tidak logik pada akal.


“Saya harap semua pihak melindungi diri sendiri daripada ditipu skim yang dari awal berniat untuk menipu,” katanya selepas merasmikan ibu pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dikenali Menara SSM@Sentral di KL Sentral di sini, semalam.

Ismail Sabri mengulas mengenai penipuan skim piramid (MLM) termasuk kejayaan pihaknya dengan kerjasama polis menumpaskan sindiket yang mengumpan kereta mewah dan keuntungan mencecah enam angka, ketika pertemuan anggota sindiket itu di Pusat Perniagaan Mentari, Bandar Sunway di sini,

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dedah10ciriskimpiramid/Article

Amalina seksi diburu



Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee

2010/07/30

KUALA LUMPUR: Seorang gadis dikenali sebagai Amalina boleh dianggap wanita ‘paling panas’ pada masa ini kerana menjadi buruan polis berikutan disyaki mendalangi satu skim cepat kaya yang dilumpuhkan polis serentak dengan rampasan 17 kereta mewah, kelmarin

IMBAS...laporan Harian Metro, semalam.
IMBAS...laporan Harian Metro, semalam.
Gadis yang gemar berpakaian seksi itu dianggap ikon di kalangan ahli skim terbabit kerana sering hadir sebagai pakar motivasi dan berkongsi pengalaman mengenai kemewahan serta kekayaan dimilikinya menerusi pelaburan tidak wujud itu.

Difahamkan, Amalina yang baru berusia 23 tahun kini memiliki aset bernilai puluhan juta ringgit dan menjalani kehidupan mewah seperti melancong ke luar negara serta menggayakan pakaian berjenama bagi meyakinkan pelabur baru.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa, berkata pihaknya kini memantau pergerakan suspek yang dipercayai masih giat meneruskan kegiatan itu.

“Wanita terbabit dipercayai mempunyai pengaruh kuat di kalangan ahli skim terbabit kerana bijak berlakon kononnya pelaburan berasaskan produk kesihatan itu wujud dan mempunyai lesen jualan langsung yang sah.

“Pada setiap kali perjumpaan, suspek akan berlakon dengan menceritakan kehidupannya yang susah ketika bekerja sebagai kerani di sebuah jabatan kerajaan, namun kerana berani membuat pinjaman untuk melabur, dia hidup mewah pada usia muda,”
katanya ketika ditemui, semalam.

Rohaimi berkata, pihaknya mengumpul maklumat risikan serta memantau pergerakan suspek sebelum menahannya dalam tempoh terdekat.

“Buat masa ini, kami menahan reman 59 orang dipercayai ahli sindiket itu untuk siasatan lanjut. Jika terdapat bukti kukuh berlaku penipuan dalam pelaburan ini, polis akan mengambil tindakan membekukan aset mereka yang dipercayai mencecah lebih RM10 juta,” katanya.

Sementara itu, bekas ahli skim terbabit dikenali sebagai Maria mendakwa turut ditipu dan meninggalkan pelaburan terbabit empat bulan lalu.

“Menyedari sesuatu yang tidak kena, saya meninggalkan pelaburan itu. Saya tidak mendapat produk yang dijanjikan walaupun hampir tujuh bulan menyertai skim terbabit. Apabila ditanya, ‘upline’ saya hanya mendiamkan diri.

“Kegiatan mereka ini sudah bergerak meluas di Sabah dan Sarawak. Mereka tidak menjual sebarang produk, sebaliknya hanya menganjurkan majlis perjumpaan semata-mata,”
katanya dalam kiriman e-mel kepada Harian Metro.

Menurutnya, walaupun menyedari ditipu, dia gagal membuat laporan polis berikutan skim terbabit tidak mempunyai alamat tetap.

“Saya percaya ramai yang terpedaya, tapi hanya mendiamkan diri. Saya berharap pihak berkuasa melumpuhkan skim ini sehingga mereka tidak lagi menipu dan beroperasi,” katanya.

Dalam serbuan di Pusat Perniagaan Mentari, Bandar Sunway, malam kelmarin, pihak berkuasa menyoal siasat kira-kira 100 ahli yang mengadakan perjumpaan di empat restoran di lokasi terbabit sebelum 59 daripada mereka ditahan.

Polis merampas 17 kereta mewah antaranya BMW 5 Series, Nissan Fair Lady, BMW Z4 Spider, Mitsubishi Evo Lancer serta Nissan GTR Skyline.

Sindiket terbabit mendakwa menjalankan perniagaan jualan langsung, namun tidak mempunyai pendaftaran syarikat dan bergerak bebas mencari mangsa yang juga kakitangan kerajaan muda serta berpendapatan rendah untuk memancing membuat pelaburan kira-kira RM41,000.

Lelaki tidak mengaku baling kerusi hingga isteri cedera parah

2010/07/29

AMPANG: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada isteri dengan membalingnya dengan kerusi minggu lalu selain menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis, tahun lalu.

Sheikh Mohd Zaid Sheikh Said, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu dan minta dibicara selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azaraorni Abdul Rahman. Tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan didakwa membaling kerusi kayu hitam terhadap Marina Hashim, 33.


Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Nirwana 36, Taman Nirwana di sini, jam 7 pagi, 21 Julai 2010. Bagi perbuatan mencederakan isterinya, Sheikh Mohd Zaid didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Manakala bagi pertuduhan mencederakan seorang penjawat awam, ASP Saheela Abu Bakar, dia didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Sheikh Mohd Zaid yang mengaku tidak bersalah didakwa menendang menggunakan kaki ke bahagian paha dan kaki sebelah kanan mangsa. Dia didakwa melakukan di tempat sama pada 26 Disember 2009.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nazatul Shima Abdul Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Adenan Ismail.


Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan semula kes.


Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang wanita dibaling kerusi oleh suaminya yang didakwa dalam keadaan mabuk.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lelakitidakmengakubalingkerusihinggaistericederaparah/Article

Lelaki didakwa cederakan isteri


MOHD. ZAID dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang semalam atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya.


AMPANG - Seorang lelaki yang tergamak mencederakan isterinya dengan membaling kerusi kayu ke arah wanita itu sehingga mangsa cedera parah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam.

Sheikh Mohd. Zaid Sheikh Said, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas Marina Hashim, 33, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azaraorni Abdul Rahman.

Zaid seorang penganggur didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Nirwana 36, Taman Nirwana di sini pada pukul 7 pagi 21 Julai lalu.

Semasa kejadian tertuduh didakwa baru sampai ke rumah dan membaling kerusi ke arah isterinya selepas wanita itu didakwa enggan membuka pintu rumah.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah ke atas isterinya dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Nazatul Shima Abdul Wahab menawarkan jaminan RM5,000 bagaimanapun dibantah peguam Adenan Ismail yang mewakili tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan semula.

Di mahkamah sama, tertuduh turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang penjawat awam, Asisten Supritendan Saheela Abu Bakar dengan menendang paha dan kaki kanan pegawai polis wanita itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0729&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Pelaburan auta syarikat MLM


SEORANG pegawai polis melihat sebahagian daripada 18 buah kereta mewah yang dirampas daripada 59 individu di Subang Jaya semalam.


KUALA LUMPUR - Keghairahan golongan muda yang ingin mendapatkan keuntungan cara mudah melalui satu skim jualan langsung (MLM) dengan cara mencari orang bawahan yang mampu melabur sehingga RM41,000 musnah apabila mendapati mereka sebenarnya ditipu.

Modus operandi sindiket tersebut ialah dengan mengedarkan risalah di sekitar kawasan perniagaan dan perumahan di Subang Jaya. Risalah tersebut mengandungi kata-kata manis untuk mengecap kekayaan dengan usaha yang minimum.

Anggota-anggota sindiket itu pula akan menggunakan kereta-kereta mewah seperti BMW pelbagai siri, Mercedes Benz, Toyota Aplhard dan Nissan Fairlady setiap kali hadir menyampaikan ceramah di lokasi-lokasi yang ditetapkan.

Difahamkan, kesemua kereta itu didaftarkan dengan digit nombor yang sama bagi meyakinkan orang ramai.

Mangsa-mangsa dikehendaki membayar antara RM10,000 dan RM41,000 mengikut pakej yang ditetapkan dan perlu mencari orang bawahan bagi melayakkan mereka menerima imbuhan iaitu sebanyak RM2,500 dalam tempoh tiga hari.

Bagaimanapun, kegiatan penipuan sindiket yang beroperasi di Subang Jaya sejak dua tahun lalu itu terbongkar apabila seramai 59 ahli sindiket termasuk sembilan wanita ditahan selepas polis menerima tiga laporan daripada mangsanya yang terdiri daripada kakitangan kerajaan.

Serbuan pada pukul 10 malam kelmarin di dua buah restoran di kawasan Mentari Court Subang Jaya itu dilakukan ketika ahli sindiket berusia dalam lingkungan 20 dan 30-an itu sedang leka mengadakan ceramah.

Difahamkan, ketika serbuan terdapat lebih 30 pengunjung berada di situ.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa(gambar) berkata, selain pulangan wang, sindiket itu juga menawarkan hadiah berupa barangan serta percutian.

Katanya, mangsa yang gelap mata akan mudah terpedaya dengan imbuhan serta hadiah yang ditawarkan dan terus membuat pinjaman untuk melabur ke dalam skim tersebut.

"Sindiket juga membantu menyediakan bantuan kewangan bagi pelabur yang berminat. Mereka kemudian akan mengarahkan mangsa supaya mencari orang bawahan bagi merancakkan perjalanan wang tersebut.

"Itu hanyalah taktik sindiket di mana mereka akan menggunakan wang yang dicari daripada orang bawahan untuk dibayar kepada pelabur berkenaan dan begitulah seterusnya. Skim tersebut sebenarnya tidak membuat sebarang keuntungan," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Rohaimi berkata, tiga kakitangan kerajaan yang membuat laporan polis tersebut mendakwa mereka ditipu sindiket berkenaan apabila langsung tidak menerima pulangan wang yang dijanjikan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0729&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Waspada kegiatan curi e-identiti



ORANG ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai e-mel mengenai LHDN yang meragukan kerana ia mungkin jerat penjenayah Internet.


KUALA LUMPUR - Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap percubaan kumpulan tertentu mencuri e-identiti (phishing) dengan mengambil kesempatan daripada langkah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengembalikan lebihan bayaran cukai ketika ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan semalam memberitahu, mangsa akan menerima e-mel tidak diundang (spam) kononnya daripada LHDN yang mengatakan mereka berhak mendapatkan pengembalian wang berjumlah RM700.

Mereka kemudian diminta mengklik logo sebuah bank tempatan yang disediakan di laman web palsu LHDN untuk meneruskan proses selanjutnya.

"Jika arahan ini diikuti, orang ramai tanpa disedari akan mendedahkan maklumat kewangan peribadi mereka," kata kenyataan itu yang memberi gambaran ringkas tentang modus operandi percubaan mencuri e-identiti oleh pihak tidak bertanggungjawab itu.

Sehubungan itu, MCMC mencadangkan orang ramai agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti menggunakan browser laman web terkini dengan penyaring e-mel phishing tersedia bina.

Selain itu, mereka juga tidak perlu mudah mempercayai e-mel yang mengumumkan kejayaan memenangi hadiah wang tunai atau pengembalian wang yang meminta maklumat perbankan di Internet.

Orang ramai juga dinasihati supaya tidak menjawab e-mel sedemikian dan menghubungi bank masing-masing jika ragu-ragu.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam LHDN, Masrun Maslim berkata, pihaknya ada menerima aduan mengenai e-mel palsu tersebut pada 21 Julai lalu dan siasatan terhadap perkara itu sedang dilakukan.

"LHDN menerima laporan mengenai aduan tersebut dari 37 cawangan LHDN di seluruh negara dan kami dapati e-mel tersebut sememangnya mempunyai unsur jenayah iaitu mencuri identiti serta maklumat akaun individu lain.

"Ini kerana LHDN tidak pernah menghantar sebarang e-mel atau pemberitahuan kepada pembayar cukai melalui e-mel. LHDN hanya menghantar surat rasmi kepada pembayar cukai berdaftar," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0729&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Rancang hamil

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my
2010/07/29

KUALA LUMPUR: Bagi menangani isu pembuangan bayi yang semakin berleluasa dan kehamilan tidak dirancang oleh golongan muda yang tidak berkahwin, Majlis Pencegahan Hamil Asia Pasifik melancarkan kempen ‘Ya, Saya Boleh’ dalam menggalakkan wanita muda mengambil pil perancang keluarga.

Ahli Majlis Pencegahan Hamil Asia Pasifik, Prof Jamiyah Hassan berkata, kempen itu bertujuan memperkasakan wanita untuk membuat pilihan mengenai kesihatan seksual dan mencegah hamil berasaskan pengetahuan serta pendidikan.


Katanya, kempen itu juga mengelak kehamilan tidak dirancang oleh golongan muda, sekali gus dapat menangani kes pembuangan bayi dengan menggalak mereka mengambil pil pencegahan kehamilan.


“Pil perancang keluarga penting bagi memberi peluang kepada wanita merancang kehamilan sekiranya tidak bersedia menerima bayi dalam hidup mereka.


“Kita tidak mahu kehamilan yang tidak dirancang ini memberi kesan emosi kepada wanita seterusnya membuat keputusan drastik membuang bayi yang tidak berdosa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian kempen ‘Ya, Saya Boleh ’ yang dirasmikan Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, di Sunway Pyramid, di sini, semalam.


Hadir sama, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Pusat Perubatan Primanora, Datuk Dr Nor Ashikin Mokhtar serta Presiden Persatuan Obstetrik dan Sakit Puan Malaysia (OGSM), Dr Mohamad Farouk Abdullah.


Kempen itu mendapat kerjasama OGSM dan Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) dengan gabungan Bayer Schering Pharma Malaysia.


Jamiyah berkata, pil itu baik untuk kesihatan wanita kerana menawarkan pelbagai manfaat kesihatan tambahan kepada mereka termasuk mengawal jerawat dan senggugut atau gejala sebelum haid.


“Kempen ini dapat mendidik wanita muda menangani kehamilan tidak dirancang dengan menggalak perbincangan secara terbuka antara mereka dengan pakar penjagaan kesihatan profesional.


“Dengan kesedaran dan pendidikan kesihatan seksual serta pencegahan hamil membantu mengurangkan wanita hamil tidak dirancang serta kes buang bayi di negara ini,”
katanya.


Menurut Jamiyah, kempen berkenaan akan berakhir November ini dengan mengadakan peraduan cabaran, ‘Ya, Saya Boleh’ dalam menggalakkan sokongan golongan muda untuk menyertainya dengan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rancanghamil/Article

Panggil semuka

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my
2010/07/29

KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang tidak bertanggungjawab ketika berurusan dengan orang ramai, malah bertindak kasar dan tidak memberikan perkhidmatan sepatutnya akan dipanggil bersemuka, malah boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk T Murugiah, berkata pihaknya memberikan amaran itu kerana tidak mahu nama baik kerajaan dirosakkan mana-mana penjawat awam.


“Kami faham, pada 2008 kalah teruk disebabkan sesetengah masalah yang dihadapi disebabkan penjawat awam yang tidak bertanggungjawab, kasar dengan rakyat dan tidak mengendalikan rakyat dengan baik.


“Ini menyebabkan rakyat marah dan pergi undi pembangkang. Sebab itu kita tak nak. Kalau penjawat awam tidak membantu rakyat kita, akan diambil tindakan. (Namun), kami akan ambil tindakan apabila kes dilaporkan,” katanya.

Dalam satu kes yang dirujuk kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) JPM, baru-baru ini, seorang penjawat awam dari Kementerian Pendidikan didakwa bertindak kasar terhadap seorang guru dari Sungai Petani, Kedah yang mengemukakan surat sokongan menteri bagi urusan pertukaran sekolah.


Murugiah berkata, pihaknya memandangkan serius kes membabitkan penjawat awam, malah tidak teragak-agak untuk menulis surat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang terbukti bersalah.


“Saya sudah memanggil penjawat awam yang bertugas di kementerian itu. Kami akan dengar apa yang berlaku. Sebab itu minggu depan kami akan panggil dia,” katanya.


Beliau berkata, rakyat yang berdepan dengan masalah khususnya membabitkan mutu perkhidmatan penjawat awam tidak perlu membuat laporan polis, sebaliknya menyalurkan aduan kepada BPA untuk diambil tindakan segera.


“Rakyat boleh menggunakan biro ini untuk menyelesaikan masalah mereka dengan cukup bijak. Tak perlu risau, kerana kami tidak mengenakan apa-apa bayaran. “Pegawai kami diarah kalau ada aduan memerlukan tinjauan, kami turun padang meninjau, panggil agensi berkaitan turun sama, menjawab tuduhan dan mencari jalan menyelesaikan masalah.


“Berbanding sebelum ini, setiap kali aduan diterima kami mengemukakan surat kepada agensi berkaitan memohon maklum balas dan selepas sekian lama, kami menerima maklum balas dan menghantar surat kepada pengadu. Jadi, pengadu tak puas hati.


“Sebab itu sekarang kami memperkenalkan sistem, iaitu minggu ini aduan dibuat, minggu depan kes didengar. “
Pada setiap Selasa kes didengar di pusat komuniti di Sentul dan pada Rabu di pejabat BPA Kuala Lumpur.


“Kami menyelesaikan kes secara musyawarah bagi kedua-dua pihak faham. Semuanya berjalan lancar, malah sampai hari ini tak ada masalah dan rakyat sangat puas hati,” katanya, sambil melahirkan kepuasan kerana sehingga kini BPA menyelesaikan 98 peratus kes.

Bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan biro terbabit, beliau berkata, pihaknya berusaha menyelesaikan kes dalam tempoh lima hari bekerja, berbanding ditetapkan 15 hari bekerja.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Panggilsemuka/Article

21 pelajar hamil luar nikah

2010/07/29

KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 kes pelajar mengandung dan bersalin anak luar nikah sejak 2006 hingga sekarang dikesan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, 12 daripadanya berlaku di sekolah luar bandar dan sembilan di kawasan bandar.


“Siasatan kementerian menunjukkan 20 kes berdasarkan suka sama suka antara pasangan manakala satu kes membabitkan kes rogol,” katanya.


Ketika menjawab soalan Senator Datuk Azian Osman di persidangan Dewan Negara di sini, semalam, beliau berkata, semua kes berlaku dalam kawasan perumahan masing-masing.


Menurut beliau, maklumat itu diperoleh daripada Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah-sekolah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.


“Sebagai usaha menyelesaikan masalah sosial membabitkan pelajar sekolah, kementerian menerusi perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling menganjurkan program penerangan mengenai seksualiti, perhubungan antara lelaki dan perempuan serta adab dan tatacara bagaimana untuk bergaul dengan kawan-kawan,” katanya.


Beliau berkata, kebanyakan kes berlaku kerana naluri kedewasaan yang ingin mencuba selain mendapat kebebasan keterlaluan daripada keluarga.


“Selain usaha pihak sekolah, kementerian juga menasihati ibu bapa atau penjaga supaya lebih prihatin dan mengambil tahu perhubungan anak-anak mereka dengan memantau perubahan tingkah laku harian mereka,” katanya. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/21pelajarhamilluarnikah/Article

Rahsia suami kantoi

Oleh Salman Hamat dan Muhd Nur Hafidz Nordin
am@hmetro.com.my
2010/07/29

JOHOR BAHRU: Seorang isteri terkejut besar selepas mengetahui rahsia suaminya menjadi pengunjung setia ‘Rumah Kuning’ iaitu sarang pelacuran bagi kelas bawahan.

Sarang pelacuran berkenaan yang tersorok di sebuah kawasan perumahan di pinggir bandar raya ini hanya boleh diakses melalui tempahan istimewa telefon.


Selain itu, sarang pelacuran itu hanya mempunyai satu jalan keluar masuk menjadikan ia kubu paling selamat bagi mereka yang gemar menikmati tubuh montok pelacur warga Indonesia.


Kegiatan tidak bermoral pengusaha Rumah Kuning yang menjadi ‘resort’ lelaki hidung belang itu dibongkar seorang wanita yang berang selepas mengetahui suaminya menghabiskan hasil perniagaan mereka untuk mendapatkan layanan istimewa wanita asing terbabit.


Pendedahan itu bermula apabila wanita yang mahu dikenali sebagai Rashidah, 28, itu curiga dengan sikap suaminya yang cukup liat dan kerap menghilangkan diri ketika diminta menjaga premis menjual barangan am milik mereka.


Menerusi bantuan rakan, Rashidah mengintip pergerakan suaminya sebelum mendapati lelaki itu sering berkunjung ke sebuah kediaman di satu kawasan perumahan.


“Sebelum tembelangnya pecah, saya pernah beberapa kali bertanyakan hal itu padanya. Bagaimanapun dia enggan mengaku dan menyatakan dia sebenarnya melepak dengan rakan untuk menghilangkan rasa bosan.


“Saya turut menelefon suami ketika giliran menjaga kedai, tetapi ada masanya tidak berjawab dan selepas beberapa kali mencuba suami akan menjawab dan memberi alasan berada dalam tandas atau memutuskan perbualan kononnya tiada liputan,” katanya ketika ditemui di bandar raya ini.


Tidak tahan dengan sikap suaminya yang kaki kelentong itu, Rashidah mendesak lelaki itu menceritakan perkara sebenar sebelum mengaku pernah beberapa kali mengunjungi pusat pelacuran itu.


“Selepas didesak dia mengaku sering melanggan wanita dengan menggunakan hasil jualan di kedai kami.


“Ketika itu, hanya Tuhan yang tahu betapa hancurnya perasaan saya apabila suami tergamak melakukan perkara seperti itu.

“Tidak cukup pengakuan itu, dia membawa saya ke pusat pelacuran terbabit dan melihat sendiri keadaan dalam rumah berkenaan serta wanita pernah dilanggan suami. Namun, apa boleh buat, perkara ini sudah berlalu,” katanya yang masih bersabar dengan suami mengenangkan anak mereka baru berusia tiga tahun memerlukan seorang ayah.


Mengikut pengakuan daripada suaminya, Rashidah berkata, pusat terbabit bukan boleh dikunjungi sembarangan orang dan hanya mereka tertentu saja boleh masuk untuk melanggan.


“Tahap keselamatan ketat, jika ada orang luar yang ingin masuk penjaga pusat terbabit akan meminta mereka memberikan nombor telefon rakan atau kenalan yang pernah mendapatkan perkhidmatan di situ.


“Nombor diberikan akan dihubungi untuk mendapatkan pengesahan sebelum dibenarkan masuk,”
katanya.

Bukan hanya mendapat layanan istimewa daripada gadis berkenaan, dia mendakwa pelanggan kebiasaannya terdiri daripada warga asing yang hanya dikenakan bayaran RM50 untuk melampiaskan nafsu di bilik yang dilengkapi katil, kipas dan bilik air.


Tinjauan semula Harian Metro ke Rumah Kuning mendapati lokasinya tersorok dan jauh dari jalan besar menjadikannya kubu ampuh bagi mereka yang inginkan belaian manja gadis warga asing tanpa risau diserbu pihak berkuasa.


Jika dilihat dari luar, orang ramai yang lalu lalang pasti tidak menyedari kegiatan maksiat di dalamnya berikutan persekitaran seperti rumah kampung didiami keluarga.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rahsiasuamikantoi/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...