Friday, July 30, 2010

Geng Kelantan lumpuh

Oleh Suraya Roslan

2010/07/30

KUALA LUMPUR: Kegiatan sindiket curi kereta digelar ‘Geng Kelantan’ yang bergiat aktif sejak beberapa tahun lalu lumpuh apabila lima lelaki dipercayai dalang kegiatan itu diberkas polis dalam beberapa serbuan berasingan di Petaling Jaya dan Shah Alam, awal pagi semalam.

Kumpulan itu hanya mencuri kereta atau motosikal sebaik menerima tempahan daripada pelanggan bagi mengelak mereka menyimpan kereta curi itu dalam tempoh lama. Malah, harga jualan ditawarkan juga lebih murah. Mereka begitu mahir dan mampu melarikan kereta atau motosikal curi dengan hanya menghidupkan enjin menggunakan wayar tertentu.


Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, kegiatan kumpulan itu ditumpaskan sebaik dua ahli geng itu ditahan kira-kira jam 12.45 tengah hari, Rabu lalu selepas berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan bengkel di Jalan Murni 2, Pantai Dalam di sini.


“Sebaik polis menyuruh mereka berhenti untuk pemeriksaan, dua suspek itu cuba melarikan diri tetapi gagal.


“Hasil pemeriksaan mangsa mendapati kereta mangsa tidak memiliki starter, sebaliknya enjin dihidupkan menggunakan wayar,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.


Wan Abdul Bari berkata, susulan tangkapan itu, polis menahan tiga lagi suspek di tiga lokasi berasingan di Shah Alam.


“Tiga suspek yang ditahan berusia antara 25 hingga 45 tahun itu berasal dari Kelantan dan aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak beberapa tahun lalu, malah mereka mendakwa hanya mencuri kenderaan yang diingini pelanggan” katanya.


Menurutnya, sindiket berkenaan bijak menyembunyikan kegiatan haram itu dengan menjual kereta yang dicuri kepada pelanggan yang dikenali saja di sekitar Lembah Klang.


“Hasil penahanan suspek, polis yang menjalankan siasatan menemui semula 14 kereta dicuri yang dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang sejak enam hari lalu. “Semua kereta berkenaan dianggarkan bernilai hampir RM500,000.


“Antara kereta yang dicuri termasuk Nissan Sunny, Toyota Camry, Proton Wira dan motosikal Yamaha,”
katanya.


Lima suspek direman tiga hari bermula tarikh tangkapan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GengKelantanlumpuh/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...