Friday, July 30, 2010

Liong Sik didakwa

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad

2010/07/30

PUTRAJAYA: Penantian puluhan pengamal media tempatan dan luar negara di Mahkamah Sesyen Putrajaya, di sini, kononnya ada pemimpin politik terkenal bakal didakwa di mahkamah itu berakhir, apabila bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik disahkan sebagai individu yang dimaksudkan itu, semalam.

Malah, penantian yang bermula seawal jam 9 pagi itu menjadikan lobi dan pintu masuk mahkamah sebagai kawasan sasaran selepas ‘khabar angin’ berkaitan kehadiran bekas pemimpin politik itu akan dihadapkan ke mahkamah. Bekas Presiden MCA berusia 67 tahun yang berkemeja lengan pendek berjalur biru itu hadir di mahkamah sambil diiringi isteri, Toh Puan Ena Ling dan dua lelaki dipercayai anaknya, kira-kira jam 4.40 petang.


Beliau didakwa menipu kerajaan dengan memperdayakan Jemaah Menteri bagi memberikan persetujuan terhadap pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang, Selangor.


Sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan, Hakim Suzana Hussin, Dr Ling yang berada di kandang tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.


Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin terhadap tertuduh. Beliau dituduh mengikut Seksyen 418, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan dan beliau juga diberikan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 417, Kanun Keseksaan.


Pendakwaan dilakukan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, dibantu Ketua Bahagian Pendakwaan, Datuk Tun Majid Tun Hamzah, Dzulkifli Ahmad dan Manoj Kurup, manakala Dr Ling diwakili peguam Datuk R R Sethu.


Mahkamah kemudian menetapkan 3 September depan bagi sebutan semula kes itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/LiongSikdidakwa/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...