Friday, November 14, 2008

11 tahun derita `dimadu isteri’


Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my


SHANUM...nikah tak sah.


ALOR STAR: “Hasrat saya mahu mengembalikan maruah sebagai suami akhirnya termakbul,” kata Amir Affandy Zakaria, 39, selepas rayuannya untuk membatalkan pernikahan isterinya, Shanum Shaari, 35, dengan Sharif Jasin, 48, di Yala, selatan Thailand, diterima Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Penantian 11 tahun anggota tentera itu selepas isterinya berkahwin dua berakhir semalam apabila mahkamah memerintahkan Shanum dan Syarif yang bernikah pada 12 Disember 2005 dipisahkan kerana pernikahan mereka tidak sah berikutan Shanum masih lagi isterinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohd Roze Abdul Wahab, berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas meneliti rekod rayuan dan hujahan peguam kedua-dua pihak serta alasan diberi berdasarkan hukum syarak dan undang-undang berkaitan, termasuk surat pengesahan rujuk oleh Amir Affandy yang dikeluarkan Pejabat Agama Daerah Baling pada 24 Oktober 1997.

Mohd Roze berkata, Shanum gagal mengemukakan bukti yang dapat meyakinkan mahkamah untuk menyangkal kesahihan surat daftar rujuk yang dikeluarkan Pejabat Agama Daerah Baling selain mendapati ia dokumen rasmi kerajaan yang sah.


Mahkamah juga menjelaskan perakuan rujuk kali kedua dibuat Amir Affandy di pejabat agama itu tanpa kehadiran isteri juga sah selain tidak menjejaskan sah rujuk terbabit.


“Selepas meneliti hujah dikemukakan, mahkamah memerintah rayuan pemohon (Amir Affandy) diterima dan pernikahan antara penentang 1 (Shanum) dan penentang 2 (Sharif) tidak sah dan mereka hendaklah dipisahkan,” katanya.

Keputusan itu juga menyaksikan mahkamah membatalkan keputusan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Muda, Sungai Petani yang menolak rayuan Amir Affandy pada 2007.

Amir Affandy memfailkan permohonan itu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Muda pada 20 Ogos 2006.

Bagaimanapun, mahkamah berkenaan menolak rayuannya pada 2007 menyebabkan Amir Affandy memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada 9 Julai 2007.

Amir Affandy dari Taman Kelisa, Sungai Petani diwakili peguam syarie Amiruddin Ahmad, manakala Shanum dan Sharif dari Kampung Sedim, Kulim diwakili Jailani Abd Ghani.

Shanum dan Sharif bernikah di Yala, selatan Thailand pada 12 Disember 2005 selepas bercerai kali kedua dengan Amir Affandy pada 9 Ogos 1997.

Amir Affandy melafazkan rujuk di hadapan kadi Pejabat Agama Daerah Baling keesokannya.

Dia dan Shanum yang berkahwin pada 1990 sebelum itu bercerai pada 1996 dan rujuk semula beberapa bulan kemudian. Sepanjang tempoh perkahwinan itu, pasangan terbabit dikurniakan empat anak berusia antara 11 hingga 16 tahun.

Amir Affandy yang bertugas di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, ketika ditemui di luar mahkamah, berkata dia bersyukur dengan keputusan itu.

“Saya tidak mahu lagi berfikir mengenai dia,” katanya.

Dia kini sudah berkahwin lain dengan Sarina Ibrahim, 36, pada 1997 dan dikurniakan empat anak berusia tiga hingga 11 tahun.

Sementara itu, pasangan Shanum dan Sharif enggan ditemubual media serta segera meninggalkan mahkamah sebaik mendengar keputusan itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20081113100955/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...