Friday, November 14, 2008

Culik dalam rumah

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@hmetro.com.my


BUKTI...Hanirttheen menunjukkan laporan polis mengenai
Noorhasmidah.


BUKIT BERUNTUNG: “Saya tergamam dan tak mampu bertindak. Dua parang panjang tajam diacu ke muka.

Dalam masa kurang seminit, tangan kakak disentap manakala mulutnya ditutup dengan tangan sebelum dilarikan tiga pemuda melalui pintu belakang rumah,” kata Muhammad Ishak Hanirttheen, 16.

Menceritakan kejadian penculikan kakaknya, Noorhasmidah, 17, kira-kira jam 7.30 pagi Ahad lalu, remaja berkenaan berkata, ketika itu, dia bersarapan di dapur manakala kakaknya sedang membasuh pakaian di belakang rumah.

Katanya, tiba-tiba tiga pemuda berbadan kurus berusia awal 30-an, muncul dan menyerbu masuk rumah mereka melalui pintu belakang untuk melarikan kakaknya.


“Saya mahu tolong kakak tapi tak terdaya. Mereka mengacu parang tajam. Saya sedih kakak diheret dengan kejam ke dalam kereta yang diletakkan berdekatan lorong belakang rumah.

“Saya segera mengejutkan ibu, Zainah Abdullah, 43, dan kakak sulung, Raihanabanu, 18, yang tidur di ruang tamu memberitahu kejadian itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Telipot 3, Bandar Bukit Sentosa 3 di sini, semalam.

Muhammad Ishak kemudian menghubungi ayahnya, Hanirttheen Abdullah, 42, yang ketika itu sedang bekerja di Selayang Baru.

Sebaik bapanya tiba di rumah, dia menceritakan kejadian, namun tidak terus membuat laporan polis.

Sebaliknya, dia berbuat demikian kira-kira jam 11.30 pagi keesokannya di Balai Polis Kuala Selangor.

Hanirttheen pula berkata, kejadian itu dipercayai ada kaitan dengan kisah lama apabila Noorhasmidah pernah hilang lebih setahun dilarikan serta dikurung seseorang pada 16 Ogos 2007, namun ditemui semula pada 23 Oktober lalu.

Anaknya diselamatkan jiran rumah lamanya di Batang Berjuntai, Selangor, selepas gadis itu meloloskan diri daripada tahanan penjenayah yang didakwa menculik dan merogolnya.

“Saya sedih nasib malang terus menimpa kami. Saya tidak menduga kejadian lama terus menghantui keluarga kami. Dulu Noorhasmidah hilang ketika berjalan pulang dari sekolah dan dilarikan seorang pemuda berasal Batang Berjuntai.

“Selama setahun dia dikurung, diseksa dan dirogol seorang lelaki berusia 20-an. Anak saya menjadi trauma dan sering menangis mengenangkan kisah silam itu,” katanya.

Menurutnya, pemuda itu mengurung anaknya dalam rumah dan mengawasi gerak gerinya agar tidak menghubungi keluarga.

Seorang wanita dipercayai ibu pemuda itu didakwa membantu ‘menyorok’ anaknya.

Berikutan kejadian itu, katanya, dia membuat laporan di Balai Polis Kuala Selangor sebanyak tiga kali sepanjang tempoh setahun itu.

Selepas menemui semula Noorhasmidah, kehidupan keluarganya diburu ketakutan dan keresahan kerana sentiasa dibayangi pemuda kejam itu.

Hanirttheen berkata, dia juga membuat laporan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Kuala Selangor untuk mendapatkan khidmat kaunseling keluarga.

Katanya, pada 4 November lalu, anaknya dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang, untuk membuat pemeriksaan kesihatan selepas anaknya mendakwa diperkosa beberapa kali ketika dia menjadi tahanan rumah penjenayah terbabit.

Bagaimanapun, katanya sehingga kini laporan pemeriksaan doktor belum diterima.

“Sepanjang kehilangannya, saya juga menerima panggilan ugutan daripada pemuda tidak bertanggungjawab itu dengan memaksa kami menarik balik laporan polis jika mahu melihat Norhasmidah selamat dalam genggamannya.

“Apabila kembali bersama keluarga semula, Noorhasmidah menceritakan kenangan silam dia dikurung dengan kejam. Dia tidak mencintai pemuda itu, sebaliknya bagaikan dipukau agar lupa jalan pulang ke rumah,” katanya.

Hanirttheen berkata, dia terpaksa membawa keluarga berpindah dari Batang Berjuntai ke Bandar Bukit Sentosa 3 di sini, pada 18 Februari lalu bagi melindungi mereka daripada gangguan penjenayah terbabit walaupun ketika itu, Noorhasmidah belum ditemui.

“Saya merayu bantuan polis mengesan anak saya ini. Keluarga amat merinduinya dan kami akan menjaganya sebaik mungkin apabila dia dikembalikan ke pangkuan keluarga nanti,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20081113100837/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...