Friday, November 14, 2008

Harga beras turun minggu depan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menurunkan harga beras Super Tempatan Lima Peratus Hancur (ST5) dan Super Tempatan 10 Peratus Hancur (ST 10) apabila langkah pentadbiran diwartakan minggu depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, beras ST15 tidak terbabit kerana harganya sudah rendah iaitu RM1.80 sekilogram serta tidak naik sejak 10 tahun lalu.

Tambahnya, harga beras ST5 dan ST10 sudah rendah kerana terdapat beberapa syarikat menurunkan harga walaupun harga siling masing-masing adalah RM2.80 dan RM2.70 sekilogram.

“Realitinya, harga sudah lebih rendah. Bagaimanapun, kerajaan akan laksanakan langkah pentadbiran untuk pastikan semua pemborong dan peruncit mengikut arahan menurunkan harga beras berkenaan.

“Oleh itu, kita akan wartakan langkah pentadbiran ini pada minggu depan dan letak harga baru bagi beras ST5 dan ST10,” katanya yang menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) yang mengemukakan isu agar harga beras turun memandangkan terdapat penurunan harga runcit minyak.

Bermula pada Jun lalu, kerajaan mula memperluaskan kawalan harga ke atas beras ST5 dan ST10 bagi memastikan ia tidak melambung berikutan kenaikan harga beras di pasaran dunia sementara kawalan bagi harga beras ST15 pula dimulakan sejak 1998.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...