Friday, November 14, 2008

MCA bantah keras cadangan bekas CJ


Nov 14, 08 11:19am

MCA membantah keras cadangan bekas Ketua Hakim Negara (CJ), Tun Abdul Hamid Mohamad supaya undang-undang lazim dan undang-undang Syariah di negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam, diharmonikan melalui penggabungan kedua-dua mahkamah sivil dan syariah.

Abdul Hamid dilaporkan berkata, pendekatan itu mampu direalisasikan kerana hakim yang sama boleh mendengar kedua-dua kes sivil dan Syariah manakala peguam bukan Islam berhujah mengenai isu yang melibatkan undang-undang Syariah.

Beliau membuat cadangan itu ketika memberi syarahan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Harvard baru-baru ini. Abdul Hamid dijemput menyertai program Pengajian Undang-Undang Islam bagi membentangkan syarahan Al-Razzaq Al-Sanhuri bertajuk ‘Mengharmonikan Undang-Undang Lazim dan Undang-Undang Syariah di Malaysia: Satu Pendekatan Praktikal’.

Mengulas cadangan tersebut, Pengerusi Biro Undang-undang MCA, Datuk Leong Tang Chong berkata cadangan itu akan menyebabkan bukan Islam tertakluk kepada undang-undang Syariah.

"Cadangan yang dibuat oleh Tun Abdul Hamid itu akan memaksa bukan Islam tertakluk kepada bidangkuasa Syariah dalam semua perkara perundangan, termasuk kes antara agama yang berkaitan dengan perkahwinan dan perceraian," kata Leong dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, sebarang langkah memaksa bukan Islam tertakluk kepada bidangkuasa Syariah melanggar Artikel 11, Perlembagaan Persekutuan.

Artikel tersebut, katanya, menjamin kebebasan agama sepenuhnya kepada semua pihak untuk menganut dan mengamalkan agama emereka, mengikut peruntukan undang-undang.

Oleh itu, kata Leong, kebebasan hakim mahkamah sivil hendaklah dikekalkan di bawah kuasa mahkamah sivil dan tidak tertakluk kepada interpretasi Syariah.

Beliau menyifatkan cadangan Tun Abdul Hamid supaya digabungkan kedua-kedua mahkamah tersebut sebagai 'tidak bertanggungjawab' kerana Malaysia adalah negara pelbagai bangsa dan agama.

Cadangan tersebut, tegas Leong lagi, boleh menimbulkan rasa tidak senang dan juga kebimbangan serta keraguan di kalangan mereka yang menganut agama selain dari Islam.


http://www1.malaysiakini.com/news/93057

-----------------------------------------------------------------------------------

ARKIB : 13/11/2008
Gabung sivil, syariah

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 12 Nov. – Undang-undang lazim dan undang-undang syariah di negara-negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam boleh diharmonikan melalui penggabungan kedua-dua mahkamah sivil dan syariah.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, pendekatan itu mampu direalisasikan kerana hakim yang sama boleh mendengar kedua-dua kes sivil dan syariah manakala peguam bukan Islam berhujah mengenai isu yang melibatkan undang-undang syariah.

Kata beliau, pengharmonian undang-undang itu boleh menjadi kenyataan kerana kini pakar yang bukan beragama Islam sudah lama menceburkan diri dalam bidang perbankan, kewangan dan takaful Islam.

‘‘Hasilnya penguatkuasaan undang-undang syariah dalam perbankan Islam berjaya mewujudkan banyak produk berasaskan Islam termasuk akaun simpanan, akaun semasa, kad kredit, takaful dan sukuk yang tidak pernah dibayangkan kewujudannya 50 tahun lalu.

‘‘Dengan ini, penentuan sama ada undang-undang syariah itu sebenar-benarnya berlandaskan Islam, maka sesebuah negara tidak seharusnya berundur ke belakang untuk melihat perbezaannya,” katanya ketika membentangkan syarahan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Harvard baru-baru ini.

Beliau dijemput menyertai program Pengajian Undang-Undang Islam bagi membentangkan syarahan Al-Razzaq Al-Sanhuri bertajuk ‘Mengharmonikan Undang-Undang Lazim dan Undang-Undang Syariah di Malaysia: Satu Pendekatan Praktikal’.

Abdul Hamid turut menegaskan, beliau percaya perkembangan sama boleh berlaku tanpa prejudis di negara-negara yang majoritinya umat Islam.

Menurut beliau, di Malaysia, undang-undang syariah mengambil pendekatan dengan menyerapkan undang-undang sivil asalkan ia tidak bercanggah dengan prinsipnya.

Abdul Hamid turut menarik perhatian bagaimana konflik timbul apabila sesuatu isu melibatkan bidang kuasa mahkamah syariah tetapi salah satu pihak merupakan bukan Islam (yang mana mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa membicarakannya), mahkamah mana akan mendengarnya.

Beliau turut membangkitkan persoalan mahkamah mana yang akan membicarakan sesuatu kes apabila isu yang dihujahkan terletak di bawah bidang kuasa kedua-dua mahkamah sivil dan syariah.

Selain itu, Abdul Hamid juga membuka satu persoalan lain iaitu mahkamah mana yang harus mendengar kes yang dibicarakan di mahkamah syariah yang turut mengandungi isu-isu perlembagaan.

‘‘Jalan penyelesaiannya ialah dengan menggabungkan dua sistem mahkamah yang mana kes-kes sivil akan didengar oleh hakim sivil dan sebaliknya.

‘‘Apabila kes itu melibatkan kedua-dua isu sivil dan syariah, ia harus didengar oleh dua hakim iaitu hakim sivil dan syariah,” katanya.


Dalam melontarkan pandangannya itu, beliau turut melihat ketidakseragaman dalam lingkungan undang-undang syariah sendiri kerana ia melibatkan mazhab.

‘‘Kita tahu salah satu sebab yang membawa kepada perbezaan pendapat di antara Imam Maliki dan Imam Abu Hanifah adalah kerana faktor geografi.

‘‘Kini tidak lagi kerana segala maklumat mengenai fakta atau undang-undang boleh dinilai oleh semua pihak dalam tempoh yang singkat.

‘‘Keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa di Asia Barat, Eropah atau di mana-mana sahaja boleh diketahui oleh ulama serata dunia apatah lagi adat resam kini lebih bersifat global,” jelasnya.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1113&pub=utusan_malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm&arc=hive

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...