Friday, November 21, 2008

Abdullah: Pertandingan dalam Wanita Umno perlu elak perbalahan



Jumaat November 21, 2008

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu pertandingan jawatan tertinggi Pergerakan Wanita Umno dijalankan dengan baik mengikut amalan demokrasi parti tanpa berlaku sebarang perbalahan di dalam pergerakan itu.


Katanya adalah sesuatu yang baik jika tiada pertandingan, namun ia terpulang kerana naib ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz, masing-masing berhajat untuk bertanding dan mahu memberi hak kepada anggota untuk menentukan siapa yang akan dipilih untuk menjadi Ketua Wanita.


Beliau bagaimanapun tidak menemui kedua-dua pemimpin pergerakan itu hari ini.


"Jika nak bertanding, bertandinglah cara yang baik. Jangan guna politik wang dan biarlah ahli-ahli pergerakan Wanita Umno yang menentukan.


"Saya harap saya boleh berbincang dengan mereka. Seboleh-bolehnya biarlah semuanya jadi elok, dan jika tidak ada pertandingan pun elok juga tetapi jika ada pertandingan pun, kenalah jalankan dengan baik.


"Itu pun bukan satu keburukan tetapi ada kebaikan,"
katanya selepas majlis pecah tanah projek Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) di sini hari ini.


Presiden Umno itu berkata demikian sebagai mengulas mengenai kemelut yang berlaku di dalam pergerakan itu.


Shahrizat semalam mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Wanita Umno manakala Rafidah di dalam kenyataan setebal 10 muka surat hari ini mengumumkan beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Mac depan.


Sambil mengharapkan tidak akan berlaku perpecahan dalam Wanita Umno, Abdullah berkata: "Ini yang penting. Jika mereka sayang kepada Umno, jangan kerana adanya pemilihan ini berlaku pula perbalahan, bermasam muka sesama sendiri, dan akhirnya Umno yang akan jadi tidak baik. Itu yang penting yang perlu mereka ingat."


Beliau berdoa agar segalagalanya berjalan lancar.


"Maka dengan itu, saya harap semuanya akan menjadi elok, dan jika sekiranya saya diperlukan untuk apa-apa juga tindakan dan nasihat... tetapi pada masa ini mereka mahu pertandingan, dan saya berharap ia adalah yang terbaik untuk Pergerakan Wanita Umno," katanya.


Ditanya sama ada beliau akan menemui kedua-dua pemimpin pergerakan itu setelah tidak berkesempatan untuk menemui mereka hari ini, Abdullah berkata: "Saya kena fikir baliklah."


Perdana Menteri berkata beliau tidak berkesempatan untuk menemui mereka berikutan baru sahaja pulang dari luar negara malam semalam.


"Tak sempat jumpa mereka, baru balik semalam, dah dengar Shahrizat dah buat kenyataan, hari ini Rafidah dah buat kenyataan, tak dan dah.


"Kedua-dua mereka adalah pemimpin yang berpengalaman, dah tahu benar pasal Wanita (Umno), saya fikir ahli Wanita (Umno) dah kenal mereka, tak kempen pun, mereka boleh tahu siapa nak undi," katanya. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/21/mstar_berita/20081121201003&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...