Friday, November 21, 2008

KENYATAAN AKHBAR RAFIDAH AZIZ

Jumaat November 21, 2008

Berikut ialah transkripsi penuh kenyataan akhbar Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia, Tan Sri Rafidah Aziz berhubung pendiriannya untuk mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan parti Mac depan.


KENYATAAN AKHBAR


Memandang bahawa Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat telah membuat kenyataan akhbar untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno, maka saya dengan ini:


1) Akan mempertahankan jawatan ketua yang saya sandang sekarang, dan Insya-Allah, akan bertanding untuk jawatan tersebut untuk tempoh 2009-2011.


2) Saya menghargai dan menghormati pandangan yang telah saya terima dari 117 Bahagian itu.


3) Saya memulangkan kepada para perwakilan, yang mewakili akar umbi, untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu untuk tempoh 2009-2011.


Saya kecewa kerana pelan Peralihan telah dipertikai, dan ditolak, lebih tiga bulan selepas saya mengumumkannya pada bulan Ogos (4 haribulan) 2008.


Semenjak tarikh itu TIADA sesiapa dalam Exco, atau di luar, yang telah mempertikaikannya. Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam Exco dan dalam sidang media, telah BERKALI-KALI menegaskan:


a) Beliau tidak akan bertanding jawatan ketua walaupun dicalonkan.


b) Beliau patuh kepada Pelan Peralihan.


c) Beliau patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar parti.


d) Bahkan beliau telah menyatakan bahawa "kata akan dikotakan" dan "my word is my honour." (semuanya telah disiar dalam media).


Saya tidak ada sebab untuk menyangka bahawa akan berlaku pelbagai pergolakan SELEPAS PROSES PENCALONAN SELESAI.


JIKA, dalam mana-mana perbincangan ADA MANA-MANA PIHAK yang TIDAK SETUJU, dengan PELAN PERALIHAN maka, sebagai pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab, WAJAR dibangkitkan dan dibantah.


Jika mereka berbuat demikian, SEBELUM proses pencalonan, maka pasti Exco akan membatalkan sahaja PELAN itu.


DAN, saya tidak ragu-ragu akan membiarkan Bahagian-bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua.


Tetapi, ‘bantahan’ ditimbulkan SELEPAS mereka mendapat CUKUP pencalonan untuk bertanding, MAKA BARU membantah, dengan berbagai ‘alasan’ yang sebenarnya tidak berasas.


ADA pula pihak-pihak tertentu yang mahukan pelan peralihan ‘dipercepat’, dari Jun ke Mac 2009. Ini tidak logik.


JIKA ia dibuat bulan Mac ia bererti:


a) Tidak ada lagi ‘pelan peralihan’, yang pada asasnya, melibatkan satu jangka masa antara Perhimpunan Agong dengan tarikh penyerahan jawatan.


Semua mengetahui bahawa pada asalnya, jangka masa itu ialah antara Januari hingga June 2009, KERANA Perhimpunan Agong dijadual pada Disember 2008.


Ia telah dianjak kepada Mac- tetapi Pelan Peralihan TIDAK terjejas.


b) Jika ‘dipercepat’ kepada Mac, ia juga bererti bahawa saya dipaksa menyerah jawatan ketua secara bulat-bulat dengan Shahrizat menang tanpa bertanding.


INI menidakkan hak dan kemahuan 117 Bahagian yang telah mencalonkan saya untuk pegang jawatan hingga Jun 2009.


Sekarang, kerana PELAN PERALIHAN telah diingkari dan jawatan ketua akan ditandingi, maka saya akan mempertahankan JAWATAN yang saya sandang sekarang ini.


Saya ingin menyarankan supaya pertandingan semua jawatan-jawatan dalam PergerakanWanita Umno hendaklah dijalankan dengan TERTIB, BERADAB, IKHLAS dan jangan sekali-kali menjejaskan sesiapa, atau menjejaskan parti.


JANGAN sekali-kali mengada-adakan dan menabur FITNAH dan BOHONGAN, dan membawa pecah belah.


ALLAH SWT menentukan segala-galanya. TIDAK ada yang lebih besar dariapada KUASA ALLAH SWT.


Terima kasih.


21 November 2008.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/21/mstar_berita/20081121161017&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...