Friday, November 21, 2008

Shahrizat perlu berani, perpecahan tidak mungkin, Penganalisis

Jumaat November 21, 2008

KUALA LUMPUR:Seperti yang dijangkakan, Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan untuk merebut jawatan nombor satu pergerakan itu biarpun bakal berdepan penyandang Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz pada pemilihan parti Mac depan.


Pengumuman Shahrizat hari ini ditunggutunggu pemerhati politik terutama sekali apabila calon Naib Ketua Wanita Datuk Kamilia Ibrahim, yang merupakan anggota Exco Wanita pusat awala-wal lagi menegaskan untuk bertanding tanpa mengikuti pelan peralihan pada Jun tahun depan.


Dalam kenyataan dua perenggan hari ini, Shahrizat turut menegaskan bahawa Wanita Umno mesti bersatu dalam mengukuhkan parti serta berani membawa perubahan dan pembaharuan.


Kenyataan Shahrizat membawa maksud beliau bersedia untuk 'bertarung' biar apa pun cabaran yang dihadapi.


Penganalisis politik Prof Madya Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman menganggap tindakan Shahrizat hari ini adalah menyahut seruan akar umbi yang mahukan perubahan dalam kepimpinan pergerakan itu.


"Shahrizat kena kuat dan berani bertanding dengan harapan menang. Saya percaya dalam diam, ada juga bahagian yang menerima Shahrizat dengan mempersoalkan tempoh peralihan tiga bulan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.


Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata tidak timbul nanti persoalan tentang perpecahan dalam pergerakan itu.


"Perpecahan tidak akan berlaku tetapi semua itu bergantung juga kepada budi bicara Rafidah dan jika beliau (Rafidah) tetap bertanding, risikonya (perpecahan) tetap ada," katanya.


Beliau berpendapat jalan terbaik bagi mengekalkan perpaduan dalam pergerakan itu ialah Rafidah mengundurkan diri secara sukarela.


Rafidah yang dihubungi Bernama melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) untuk mendapatkan komen mengenai keputusan Shahrizat, menjawab melalui SMS bahawa beliau akan membuat kenyataan esok.


Dr Ahmad Nidzammuddin berkata jumlah pencalonan yang dibuat pada persidangan Bahagian Wanita Umno barubaru ini bukanlah suara sebenar sokongan yang mewakili manamana pihak.


Bagi jawatan Ketua Wanita Umno, Rafidah mendapat 117 pencalonan manakala Shahrizat 73.


Secara automatiknya, Ahmad Nidzammuddin berkata keputusan Shahrizat itu memberikan laluan kepada Kamilia menang tanpa bertanding jawatan Naib Ketua Wanita Umno.


Sementara itu, penganalisis politik Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk berkata keputusan yang dibuat Shahrizat itu berkemungkinan diambil menerusi 'calculated decision' iaitu dengan mengambil kira kebarangkalian menang apabila bertanding nanti.


"Keputusan itu bukan mudah kerana ia perlu mengambil kira persekitaran pada masa kini termasuklah sokongan akar umbi. Pertandingan itu juga menggambarkan bahawa proses demokrasi dalam pergerakan itu berjalan lancar dengan setiap ahli mempunyai hak masingmasing," katanya.


Pensyarah Sains Politik di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata sokongan Wanita Umno Perak semalam yang menyebelahi Shahrizat juga mungkin salah satu kriteria yang diambil bagi Shahrizat membuat keputusan seperti itu.


Mengulas lanjut, beliau berkata sokongan Wanita Perak itu adalah penting berdasarkan sentimen bahawa Rafidah, yang merupakan anggota Parlimen Kuala Kangsar, berasal dari Perak.


"Pada pendapat saya, peluang Shahrizat untuk menang adalah tinggi kerana semua faktor semasa kini menyebelahi beliau," katanya.


Beliau berkata dengan keputusan Shahrizat itu, maka pelan peralihan kuasa yang dipersetujui Exco Wanita Umno sebelum ini berakhir begitu sahaja.


Mengikut pelan peralihan kuasa yang diputuskan pada mesyuarat Exco Wanita Umno pada Ogos lepas, jawatan ketua dan naib ketua pergerakan itu tidak dipertandingkan, dengan Rafidah kekal sebagai ketua dan Shahrizat sebagai naib ketua dan Rafidah akan menyerahkan jawatan nombor satu pergerakan itu kepada Shahrizat pada bulan Jun tahun hadapan.


Minggu lepas Exco pergerakan itu turut mengekalkan keputusan untuk meneruskan pelan peralihan itu. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/21/mstar_berita/20081121084614&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...