Friday, November 21, 2008

Harga minyak jatuh AS$49.91 setong


SEORANG pekerja mengira wang di sebuah stesen minyak di Tirana semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

LONDON - Harga minyak menjunam di bawah paras AS$50 setong (RM181.16) semalam ketika pasaran kewangan dibayangi ketidakyakinan terhadap ekonomi dunia dan peningkatan petunjuk bahawa permintaan untuk minyak semakin menurun.

Minyak mentah Amerika Syarikat (AS) jatuh AS$3.71 (RM13.45) kepada AS$49.91 (RM180.85) setong menjelang akhir dagangan iaitu harga terendah sejak Januari 2007.

Di London, harga minyak mentah jenis Brent turut susut sebanyak AS$3.10 (RM11.23) kepada AS$48.62 (RM176.15) setong.

Ketika kelembapan ekonomi memusnahkan permintaan terhadap minyak, syarikat-syarikat minyak merancang untuk menyimpan stok berjuta-juta tong minyak mentah dengan harapan ekonomi dunia akan pulih.

Broker-broker perkapalan berkata, pedagang minyak AS, Koch dan Royal Dutch Shell menempah sejumlah kapal tangki gergasi berupaya menyimpan 10 juta tong minyak mentah, lebih banyak daripada pengeluaran harian oleh Arab Saudi.

Harga minyak jatuh kira-kira dua pertiga sejak mencatat rekod Julai lepas dengan didagangkan pada AS$147 (RM532.64) setong, sebahagiannya kesan keruntuhan kredit global yang menyebabkan para pelabur menarik balik wang mereka daripada aset-aset berisiko.

Kejatuhan harga minyak mencerminkan kelemahan pasaran ekuiti yang terus jatuh semalam apabila bursa-bursa Eropah menurun ke paras terendah sejak Mac 2003. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...