Friday, November 21, 2008

Virus daripada suami


Oleh MELATI MOHD ARIFF



SOKONGAN keluarga dan masyarakat perlu bagi memberi kekuatan kepada pesakit Aids meneruskan kehidupan tanpa berasa diri mereka terasing. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

DIANA ANN dan Jamaliah Sulaiman (bukan nama sebenar) berkongsi status yang sama iaitu wanita positif HIV (Human Immunodeficiency Virus). Kedua-duanya mendapat jangkitan virus ini daripada suami masing-masing.

Sudah banyak air mata mereka mengalir bukan sahaja kerana mengenangkan nasib dijangkiti penyakit tanpa penawarnya tetapi yang lebih menyeksa perasaan ialah diskriminasi masyarakat terhadap mereka yang hidup dengan HIV. Virus yang sinonim dengan AIDS (Acquired Immune Deficiency Syndrome) atau Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit, yang suatu ketika dahulu dicap sebagai penyakit 'pembunuh'.

Diskriminasi dan stigma inilah yang mengakibatkan individu yang hidup dengan HIV atau positif HIV seperti Diana Ann dan Jamaliah terpaksa menyembunyikan penyakit mereka serta mengharungi sendiri kehidupan tanpa sokongan yang dapat memberikan mereka kekuatan untuk terus hidup.

Kisah sedih Diana

Diana Ann nampak sihat di sebalik virus ganas yang bersarang di tubuh kecilnya sejak tahun 1996.

Bekas jururawat sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak ini bercerita bahawa dia mengalami demam, muntah-muntah, cirit-birit selama hampir dua minggu sebelum mengetahui dia dijangkiti HIV.

"Apabila demam berterusan, saya menjalani pemeriksaan perubatan sepenuhnya di hospital di mana saya bekerja. Saya tidak diberitahu apa masalah saya dan pihak hospital menghantar saya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur, saya tidak berhenti bertanya kepada matron yang mengiringi saya tetapi tidak mendapat jawapan sehinggalah tiba di HKL, doktor di Klinik Penyakit Berjangkit (ID) memberitahu saya,"
kata Diana dalam bengkel media mengenai Kanak-Kanak, HIV dan Aids di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hancur luluh hati Diana apabila doktor di Klinik ID berkata, dia menghidap Aids. Perasaannya semakin tertekan apabila suaminya berkeras tidak mengaku yang dia penyebab Diana mempunyai HIV dan rakan sekerjanya mengambil sikap menyisihkan diri. Dia juga ditukar ke jabatan lain, membuat kerja pentadbiran.

Kesengsaraan hidup Diana yang juga anak yatim piatu tidak terhenti di situ sahaja. Komuniti gereja yang sering dikunjunginya turut memulaukannya.

"Saya ingat saya akan mendapat sokongan moral daripada komuniti gereja, ternyata saya silap.

"Semua diskriminasi dan stigma ini amat menyeksa emosi saya. Kalau luka, kita boleh letak ubat dan plaster tetapi kalau emosi terluka, bagaimana nak buat?"
keluhnya.

Hampir bunuh diri

Dengan keadaan fizikal yang lemah dan emosi yang tertekan, Diana berkata, pernah dia terfikir hanya satu sahaja jalan keluar untuk segala kesengsaraan yang dilaluinya iaitu membunuh diri.

"Saya dah tak nampak jalan lain. Saya ajak dua kawan saya makan angin dengan kapal persiaran. Sekitar pukul 2 pagi, saya beritahu mereka yang saya mahu ambil angin. Saya pergi ke dek dan nekad terjun selepas membaca doa.

"Saya sudah tinggalkan nota perpisahan untuk kawan-kawan dan adik saya di rumah. Ketika saya hendak melompat ke dalam laut, tiba-tiba muncul dua pengawal keselamatan, bertanya apa yang saya buat di kawasan larangan. Saya beritahu mereka saya hanya mahu menghirup udara segar.

"Saya kemudian beredar ke kabin saya dan duduk di tangga. Di situ, saya menangis sepuas-puasnya. Saat itulah saya merasakan Tuhan masih sayangkan saya,"
katanya.

Menurut Diana, dia kemudian kembali ke Kuala Lumpur dan menemui doktornya dan meluahkan rasa penderitaannya. Kata-kata perangsang Dr. Christopher Lee masih segar dalam ingatan Diana hingga hari ini.

"Dr. Lee memberitahu saya, Diana, tukarkan semua lemon dalam kehidupan anda menjadi minuman lemon yang manis yang anda boleh berikan kepada orang lain untuk menghilangkan dahaga mereka," katanya.

Berbekalkan kata-kata penuh inspirasi Dr. Lee yang dianggapnya sebagai 'wira' dalam hidupnya, Diana berkata, beliau selepas itu semakin kuat dan bertekad untuk meneruskan kehidupannya.

Kisah duka Jamaliah

Bagi diri Jamaliah, 42, dia hanya tahu dirinya dijangkiti HIV apabila membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah makmal persendirian di Klang pada 1998 selepas kematian suaminya, seorang penagih dadah.

"Saya tak tahu apa nak buat apabila mendapat berita saya dijangkiti HIV. Saya takut nak beritahu keluarga. Saya juga tak tahu mana hendak dapatkan kaunseling.

"Meskipun saya tahu saya HIV positif tetapi saya kemudian berkahwin lagi kerana ibu saya yang cacat penglihatan dan lumpuh mahu saya berkahwin sebelum dia menutup mata.

"Situasi ketika itu begitu menekan. Saya tahu saya akan dipersalah tetapi masa itu saya benar-benar buntu, tak tahu apa nak buat, cerita Jamaliah yang berasal dari Klang.

Suaminya mula mengetahui akan penyakitnya apabila dia hamil empat bulan. Jamaliah dan suaminya diberi kaunseling terutama dalam soal hubungan suami isteri untuk mengelakkan suaminya dijangkiti virus berkenaan.

Hubungan suami isteri ini, kemudiannya renggang dan berakhir dengan perceraian.

Menurut Jamaliah, bila anaknya disah HIV positif, dia dirujuk ke Institut Pediatrik Kuala Lumpur di bawah kelolaan Dr. Kamarul Azahar Mohd Razali.

Institut Pediatrik adalah kumpulan sokongan pertama di mana Jamaliah mendapat kaunseling mengenai penyakit HIV.

"Dari situ, saya sedar ada orang yang ambil berat tentang saya dan saya masih berpeluang untuk meneruskan kehidupan. Sebelum itu, saya rasa tak boleh hidup lagi dan merasa amat bersalah kerana menyebabkan anak saya dijangkiti virus ini," katanya.

Menurut Jamaliah, orang di sekelilingnya banyak memberi sokongan dan sering mengingatkannya bahawa dia tidak keseorangan. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...