Wednesday, November 5, 2008

Ajak lari ke Tuban

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my



BUKTI...Amirah menunjukkan gambar suspek serta laporan
polis selepas diugut seorang lelaki warga Indonesia.



KUANTAN: Dia baru berkenalan dengan lelaki warganegara Indonesia berasal dari Tuban, Jawa Timur, tidak sampai 20 hari, namun lelaki berkenaan cukup pemurah apabila menghadiahkan sepasang baju kurung, baju tidur serta sebentuk cincin permata.

Bagaimanapun, selepas itu, pelajar kursus kejururawatan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) berusia 21 tahun dari Pontian, Johor, itu mendakwa seolah-olah hanya menuruti arahan lelaki berkenaan.

Menurut mangsa yang hanya dikenali sebagai Amirah, selepas berkenalan dengan lelaki berusia 33 tahun dikenali sebagai Zainol itu, dia sudah menyerahkan wang tunai RM700 kepada lelaki berkenaan selain diajak lari dan pulang ke kampung halaman lelaki berkenaan.

Katanya, dia mula mengenali lelaki itu ketika menunggu bas untuk pulang ke asrama selepas tamat menjalani latihan praktikal di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebelum dihampiri lelaki berkenaan yang meminta nombor telefon kononnya mahu berkenalan.


“Ketika itu, saya seperti terpukau dengan kelembutan tutur kata lelaki itu sebelum bertukar nombor telefon manakala dia pula memberitahu bekerja sebagai subkontraktor di hospital itu.


“Selepas itu, lelaki berkenaan mengajak saya berjumpa sebelum menghadiahkan cincin, baju kurung, baju tidur serta jamu dari Indonesia.

“Selepas menyarungkan cincin itu di jari, saya sering teringatkannya hingga mengganggu pelajaran selain menuruti segala kemahuannya termasuk memberikan wang tunai kepadanya untuk belanja harian.

“Malah, keadaan paling menakutkan ialah apabila saya tidak berani melawan ketika dia cuba mencabul kehormatan saya. Sepanjang perkenalan itu, lelaki terbabit turut memaksa saya pulang ke kampungnya di Tuban selain memujuk supaya berhenti belajar semata-mata untuk tinggal bersamanya,” katanya.

Menurut Amirah, dia bernasib baik apabila tembelang lelaki itu terbongkar, Khamis lalu selepas seorang wanita yang juga rakan kepada lelaki itu memberitahu kegiatan jahat suspek yang dikatakan banyak menipu dan memukau wanita dan gadis untuk kepentingannya.

“Malah, wanita itu turut menunjukkan gambar lelaki terbabit yang sudah beristeri bersama dua anaknya di kampung.

“Terkejut dengan pendedahan wanita terbabit, baru saya tersedar daripada pukau itu selepas mencabut cincin yang dipakai selama ini.

“Saya kemudian menghubungi Zainol dan memberitahu mahu memutuskan perhubungan sebelum dia mengugut meminta wang RM1,700 dan jika tidak dituruti, dia mahu memusnahkan hidup saya.

“Saya yang ketakutan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Jumaat lalu.

“Saya difahamkan, dia ditahan jam 2.30 petang di tempat kerjanya tetapi dibebaskan semula selepas keterangan dan laporan saya dikatakan tidak kukuh,” katanya.

Katanya, selepas laporan polis pertama itu dibuat, lelaki berkenaan sudah tidak kelihatan di tempat kerjanya, namun yakin dia masih berada di sekitar bandar itu.

“Saya menghebahkan kejadian ini kerana tidak mahu ramai lagi wanita lain turut menjadi mangsa kegiatan lelaki berkenaan, katanya yang kemudian membuat laporan polis kedua di IPD Kuantan kelmarin selepas bimbang dengan keselamatannya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081105093104/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...