Wednesday, November 5, 2008

Dua lelaki culik gadis ‘sombong’


KUALA LUMPUR: Hanya kerana dilabel sombong dan tidak mahu melayan teguran, seorang remaja perempuan diculik dua lelaki yang mendakwa peminat misterinya.

Lebih aneh, apabila penculik langsung tidak berniat meminta sebarang duit tebusan daripada keluarga mangsa, sebaliknya hanya meluahkan rasa tidak puas hati kerana tidak dilayan gadis berkenaan.

Sumber polis berkata, dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa yang bersendirian menunggu ibu tirinya di bawah sebuah pangsapuri di Bandar Sri Damansara di sini.

Ketika kejadian jam 2 petang, remaja itu dihampiri dua lelaki tidak dikenali yang menegur dan cuba menguratnya.


“Bagaimanapun, dia enggan melayan sapaan dua lelaki itu.


“Difahamkan, suspek pada mulanya tidak melakukan apa-apa mencurigakan terhadap mangsa selepas menyedari terdapat penghuni pangsapuri itu melintas berhampiran tempat kejadian,”
katanya.

Menurutnya, mereka sebaliknya berpura-pura menggunakan telefon bimbit sambil berlegar-legar di kawasan itu sambil menanti peluang untuk menculik mangsa.

“Selepas mendapati hanya mangsa berada di kawasan itu, mereka segera menangkap dan memaksanya masuk ke dalam kenderaan.

“Difahamkan, dua lelaki itu menutup mata dan mengikat tangan remaja itu bagi memastikan dia tidak mengetahui lokasi dibawa,” katanya.

Menurutnya, mangsa dibawa ke sebuah rumah kosong di Damansara Damai di sini, sebelum dikurung suspek yang dipercayai lelaki tempatan.

“Siasatan mendapati lelaki terbabit menghubungi ibu tiri mangsa, namun bukan untuk meminta wang tebusan seperti diduga.

“Lelaki itu sebalik meluahkan rasa kecewanya kerana remaja itu tidak mahu melayan tegurannya walaupun sudah lama dia mencuba.

“Dia juga mendakwa terpaksa menculik gadis itu berikutan mangsa tidak mesra terhadap sapaannya,” katanya.

Difahamkan, mangsa kemudian dibuka ikatan pada tangan dan lilitan kain pada matanya.

“Pada masa sama, seorang daripada lelaki itu ditugaskan mengawal mangsa manakala seorang lagi beredar dari rumah kosong berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, seorang daripada penculik itu mengantuk dan tertidur, sekali gus memberi peluang kepada remaja itu melarikan diri.

“Mangsa kemudian lari menuju ke jalan besar sebelum meminta pertolongan orang ramai. Dia turut meminjam telefon untuk memaklumkan kejadian itu kepada bapanya.

“Susulan kejadian itu, polis segera menyerbu rumah kosong berkenaan, namun suspek sempat melarikan diri. Mangsa bagaimanapun dilaporkan tidak dicederakan, malah suspek langsung tidak mencabulnya,” katanya.

Berikutan kes culik itu, polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081105095142/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...