Wednesday, November 5, 2008

Dua wanita dakwa tomboi paksa jual tubuh

MELAKA: Penderitaan dua wanita yang terpaksa melayan nafsu 11 lelaki sehari termasuk warga Afrika selepas dipaksa melacur sejak lebih sebulan lalu di negeri ini oleh seorang tomboi berakhir apabila mereka diselamatkan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), semalam.

Rahsia dua wanita masing-masing berusia 22 tahun itu yang mendakwa dilacurkan tomboi terbabit terbongkar selepas mereka ditahan Jaim kira-kira jam 10 pagi di sebuah bilik hotel di Jalan Tun Ali, dekat sini, atas kesalahan berkurung dengan seorang lelaki bukan muhrim.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata sepasukan anggota penguat kuasa Jaim ke hotel berkenaan untuk menjalankan serbuan selepas aduan menyatakan terdapat beberapa pasangan bukan muhrim berada dalam hotel itu.

Katanya, ketika serbuan ke atas bilik yang dikenal pasti, pihaknya menemui dua wanita dan seorang lelaki berusia 30-an.

“Apabila pemeriksaan mendapati mereka adalah bukan mahrim, mereka terus ditahan mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka, 1991, kerana bersekediaman dengan bukan mahrim.


“Mereka kemudian dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Jaim untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Rahimin berkata, siasatan mendapati dua wanita itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan mendakwa berusia 22 tahun serta berasal dari Johor.

Katanya, ketika soal siasat dijalankan, wanita itu mendakwa terpaksa melacur atas arahan seorang tomboi yang juga bertindak memegang kad pengenalan mereka bagi mengelak mereka melarikan diri.

Bagaimanapun, pihaknya tidak menemui tomboi dimaksudkan di dalam hotel berkenaan ketika serbuan dilakukan.

“Seorang daripada wanita itu pula mendakwa dia dilacurkan tomboi berkenaan bersama beberapa lagi wanita lain di hotel itu.

“Lebih mengejutkan, dia mendakwa terpaksa melayan sekurang-kurangnya 11 pelanggan sehari.

“Pelanggan pula terdiri pelbagai warga tempatan termasuklah lelaki berketurunan kulit hitam dari Afrika.

“Wanita itu mendakwa lagi setiap pelanggan dikenakan bayaran sebanyak RM80 dan ia dibayar terus kepada tomboi itu,” katanya.

Beliau berkata, mereka mendakwa dibawa ke hotel berkenaan oleh tomboi berkenaan selepas berkenalan dengan mereka sebelum ini.

Katanya, kedua-dua wanita itu dirujuk ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memastikan benar atau tidak mereka memiliki kad pengenalan dan seterusnya membuktikan warga tempatan.

“JPN berjaya mengesan nombor kad pengenalan seorang daripada wanita terbabit manakala seorang lagi gagal dikesan kerana tidak mengingati nombor kad pengenalannya.

“Kami merujuk kedua-dua wanita itu kepada polis berikutan mereka mendakwa kad pengenalan disimpan tomboi terbabit dan dipaksa menjadi pelacur,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081105093148/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...