Wednesday, November 12, 2008

Termakan ayat manis - Lagi mangsa tertipu dengan laman sembang

Oleh HISHAM IDRIS
hisham.idris@kosmo.com.my




LAMAN sembang internet semakin menjadi medan penipu mencari mangsa khususnya wanita yang mudah terpedaya dengan kata-kata manis. – Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA TERENGGANU - Kisah ‘cinta’ palsu di laman sembang siber yang berakhir dengan penipuan kini timbul lagi dengan mangsa terbaru seorang pengurus wanita berusia 43 tahun.

Mengikut cerita mangsa yang berasal dari Kemaman, dia berkenalan dengan seorang lelaki yang didakwa warga asing pada 2 November lalu.

Suspek yang dikatakan pandai menggunakan kata-kata manis, berjaya memikat hati mangsa untuk membayar RM2,500 semata-mata bagi mendapatkan barangan mewah seperti barang kemas, beg kulit berjenama, komputer riba dan wang tunai AS 5,000.

Namun mangsa itu tidak mengambil iktibar daripada laporan Kosmo! pada 9 Oktober lalu mengenai tiga wanita, juga dari negeri ini, mendakwa kerugian melebihi RM25,000 menerusi taktik penipuan dengan modus operandi yang sama.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Deputi Supritendan Ab. Rahim Abd. Razak berkata, dalam kes terbaru ini, selepas menerima tawaran tersebut, mangsa menerima satu panggilan telefon dari apa yang didakwa sebuah syarikat kurier di KLIA untuk menuntut barang.

Bercakap pada sidang akhbar semalam, beliau berkata, ketika itu mangsa dikehendaki menjelaskan duti Kastam berjumlah RM2,500 bagi memperoleh barang tersebut.

Selepas memasukkan jumlah itu ke dalam akaun yang diminta pada pukul 4 petang hari yang sama, mangsa kemudiannya menelefon suspek.

“Mangsa diberitahu bahawa jumlah itu tidak mencukupi dan diminta memasukkan RM4,600 ke dalam akaun yang sama,” ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...