Tuesday, December 2, 2008

‘Serah pada polis’

Oleh Nazarali Saeril
nazarali@hmetro.com.my


PATAH...Zamzarina mendukung Khairina
yang patah kaki kanan ketika dalam
jagaan pengasuh.


KLANG: “Pengasuh kata anak saya jalan berpusing-pusing sebelum pening dan tumbang menyebabkan kaki kanannya patah,” kata Khairul Azizi Mat Ali, 32, di sini, semalam.

Anak bongsunya, Khairina Balqis yang berusia setahun dua bulan, patah kaki kanan ketika dalam jagaan pengasuhnya di Batu 9, Telok Panglima Garang, Jumaat lalu.


Kaki bayi berkenaan disimen manakala pengasuh terbabit sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk diambil keterangan, kelmarin.

Menurut Khairul dari Taman Telok Dawai, Telok Panglima Garang, semuanya bermula pada Khamis lalu apabila dia serta isteri, Zamzarina Saaban, 25, diminta tidak mengambil anak mereka dari rumah pengasuh atas alasan sudah lewat selain bayi berkenaan sedang tidur.


“Kebetulan hari itu hujan lebat dan pengasuh menghubungi kami memaklumkan tidak perlu mengambil anak kerana sudah lewat selain anak sudah tidur.


“Pagi keesokannya, pengasuh menghubungi isteri memaklumkan anak kami terjatuh ketika bermain dan tidak boleh berdiri,” katanya yang bertugas di sebuah kilang, di sana.

Khairul kemudian dimaklumkan perkara itu oleh Zamzarina dan bergegas ke kediaman pengasuh terbabit.

Menurutnya, ketika di rumah pengasuh, dia mendapati anaknya menangis dan tidak dapat berdiri manakala pengasuh memberi alasan bayi berkenaan jalan berpusing-pusing sebelum pening dan jatuh.

“Saya yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian membawa anak ke sebuah klinik di pekan Telok Panglima Garang, tetapi doktor yang menjalankan pemeriksaan mendapati tiada apa yang berlaku.

“Malam itu, anak saya semakin kuat menangis dan masih gagal berdiri. Keesokan harinya iaitu Sabtu, saya membawanya ke sebuah klinik lain dan hasil pemeriksaan X-ray mendapati kaki kanan anak saya patah,” katanya.

Bayi malang itu dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, sebelum kakinya disimen selepas diperiksa beberapa doktor pakar di situ.

Khairul kemudian membuat laporan di IPD Kuala Langat berkaitan kejadian dan kelmarin, pengasuh terbabit yang dibayar antara RM200 hingga RM250 sebulan untuk menjaga Khairina, diminta ke IPD berkenaan bagi direkodkan kenyataan.

“Isteri saya turut memberi keterangan di sana. Pengasuh itu ada berjumpa kami dan dia hanya menangis tanpa meminta maaf atau memberikan penjelasan lanjut berkaitan apa sebenarnya berlaku.

“Selepas ini, saya serta isteri akan meletakkan anak di bawah jagaan bapa kerana trauma kejadian sama mungkin berulang. Saya tidak menuduh sesiapa dan biarlah polis menjalankan siasatan. Apa-apa tindakan selanjutnya yang akan kami ambil selepas siasatan polis selesai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohamad Radzi Ishak, berkata siasatan awal mendapati tiada unsur dera dalam kejadian terbabit.

“Bagaimanapun, ada unsur kecuaian pengasuh berkenaan. Kita tidak boleh mendakwa pengasuh terbabit.

“Selepas ini, polis akan mengambil keterangan daripada jiran, doktor selain pihak berkaitan untuk melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081202091020/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...