Tuesday, December 2, 2008

Cerita Arif Shah nak lompat: Dua pemimpin Umno dibawa masuk 'meeting'


Ada masalah antara Datuk Arif Shah dengan Datuk Abdul Jalil




02 Dec 2008 9:56AM



PP: Umno Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat meja bundar untuk membincangkan perselisihan antara Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah, dengan Ketua Bahagian Umno Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, pada minggu depan.

Setiausaha jawatankuasa perhubungan Umno Negeri, Datuk Azhar Ibrahim, menyifatkan perselisihan antara dua pemimpin itu sebagai 'hal dalaman'.

Beliau berkata pihak parti sedar adanya masalah antara Datuk Arif Shah dengan Datuk Abdul Jalil. Menurutnya, parti itu juga tahu tentang tawaran Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Datuk Arif Shah untuk menyertai Pakatan Rakyat (PR).

'Nampaknya perselisihan antara kedua-duanya itu, yang semakin buruk selepas pemilihan pemimpin parti (peringkat) bahagian, masih belum dapat diatasi. Kepimpinan negeri akan berbincang dengan mereka minggu depan untuk mencari penyelesaian secara baik,' jelas beliau sambil menunjukkan keyakinannya bahawa Datuk Arif Shah akan kekal dengan Umno.

Beliau mengulas laporan The New Straits Times kelmarin yang memetik Datuk Arif Shah sebagai berkata beliau sedang menimbangkan secara serius masa depannya dalam Umno ekoran apa yang beliau sifatkan sebagai 'penyalahgunaan kuasa secara terang-terangan' oleh kepimpinan Bahagian Umno Permatang Pauh.

Seorang pengerusi cawangan Umno di bawah kawasan undi Seberang Jaya yang enggan namanya disiarkan, berkata adalah lebih baik bagi Datuk Arif Shah menyelesaikan perselisihannya dengan Datuk Abdul Jalil daripada berpindah ke PR.

Menurutnya, adalah tidak adil bagi Datuk Arif Shah menukar parti sedangkan beliau mengekalkan kerusinya dalam pilihan raya umum di bawah tiket Barisan Nasional (BN).

Setiausaha PKR Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kasim, pula berkata pihaknya belum membuat sebarang tawaran kepada Datuk Arif Shah.

Sementara itu, dalam perkembangan lain di Ipoh, Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, semalam menyarankan agar Parti Progresif Rakyat (PPP) keluar daripada BN sekarang tanpa perlu menunggu pilihan raya umum Malaysia ke-13.

Beliau berkata kenyataan Presiden PPP, Datuk M. Kayveas, kelmarin bahawa parti itu akan keluar daripada BN jika kerajaan tidak meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum pilihan raya umum ke-13, adalah berbaur ugutan jahat dan amat menyakitkan hati.

'BN tidak perlu tunduk kepada sebarang ugutan jahat daripada mana-mana parti komponennya dan Kayveas telah berkali-kali membuat ugutan seumpama itu semata-mata mahu mendapatkan sokongan murahan penyokongnya,' katanya dalam satu kenyataan.
/ NST, Bernama

http://www.klpos.com/news/2008/12/02/1.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...