Tuesday, January 6, 2009

10 geng berpistol punah


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 geng samseng dan kongsi gelap yang bermaharajalela di sekitar ibu kota dikesan mempunyai senjata api untuk melakukan jenayah selain menunjuk kuasa masing-masing.

Siasatan polis mendapati antara kumpulan penjenayah berbahaya terbabit ialah Tiger, Aman, AAO, Ah Tok, Ah Meng, Modesto, Netagi dan Hartamas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata kumpulan penjenayah berkenaan ditumpaskan sepanjang tahun lalu hasil operasi Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur.

Katanya, sepanjang tahun lalu sebanyak 22 pistol automatik dirampas daripada penjenayah selain 14 pistol Revolver, tiga senapang pump gun, tiga butir bom, 1,052 peluru pelbagai jenis dan tiga pistol mainan.

“Kebanyakan rampasan pistol dan peluru berkenaan diperoleh daripada kumpulan penjenayah terbabit yang amat dikehendaki polis berhubung berpuluh kes jenayah terutama samun bersenjata api.

“Antara 10 kumpulan penjenayah terbabit yang berjaya ditumpaskan polis adalah Geng Tiger. Hasil operasi dilakukan seramai tiga lelaki dan dua perempuan yang menganggotai kumpulan itu diberkas,”
katanya.

Menurutnya, polis turut berjaya merampas dua pistol jenis Colt Automatik dan tujuh peluru dari kumpulan berkenaan.

“Polis turut berjaya menumpaskan Geng Aman hasil tangkapan tujuh lelaki selain merampas sepucuk pistol jenis Revolver Taurus dan 10 butir peluru hidup.

“Kumpulan penjenayah ketiga yang berjaya ditumpaskan adalah Geng AA0 hasil penahanan lapan lelaki dan rampasan sepucuk pistol jenis Glock dan tujuh butir peluru,”
katanya.

Sabtu berkata, polis turut berjaya menumpaskan Geng Ah Tok dan menahan tiga lelaki dan seorang perempuan. Bagaimanapun, sepasang kekasih yang menganggotai kumpulan itu sudah ditembak mati.

“Polis turut merampas empat pucuk pistol jenis Ruger P89, pistol Smith & Wilson, Pistol Pietro Beretta Gardone dan pistol Notinco bersama 24 butir peluru hidup. Satu lagi kumpulan penjenayah yang berjaya ditumpaskan adalah Geng Ah Meng yang dianggotai tiga lelaki tempatan.

“Hasilnya, polis merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson bersama 26 butir peluru,” katanya.

Kumpulan penjenayah keenam yang dilumpuhkan polis adalah Geng Mamak yang kerap menyamar menggunakan topi berlogo polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain aktif melakukan kes samun dan curi kenderaan.

“Polis juga menumpaskan Geng Modesto dan menahan dua lelaki bersama sepucuk pistol semi auto berserta lapan butir peluru.

“Polis turut berjaya menewaskan kumpulan penjenayah Geng Netagi hasil penahanan empat lelaki warga Myanmar termasuk seorang daripadanya berjaya ditembak mati,” katanya.

Menurutnya, penjenayah warga asing berkenaan dianggap berbahaya berikutan memiliki sepucuk pistol jenis Smith & Wesson, 15 butir peluru dan tiga parang yang digunakan untuk rompakan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090106093541/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...