Tuesday, January 6, 2009

Surcaj 30 peratus bas sekolah Mac


Oleh SHAMSHUL FITRI MAJID
fitri@kosmo.com.my

MELAKA - Persekutuan Pengusaha Bas Sekolah Semenanjung Malaysia (PPBSSM) akan menangguhkan hasrat mereka untuk mengenakan surcaj tambang bas sekolah sebanyak 30 peratus yang sepatutnya bermula semalam.

Menurut Presidennya, Chee Ah Tey, surcaj itu sebaliknya akan berkuat kuasa 1 Mac ini.

"Persatuan sedar ibu bapa agak tertekan dari segi kewangan memandangkan penggal persekolahan baru bermula dan Tahun Baru Cina akan tiba tidak lama lagi.

"Bagaimanapun, pihak Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) perlu memberi jawapan kepada memorandum yang kami serahkan September lalu untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Jelas beliau, memorandum September lalu menggesa LPKP menambah subsidi diesel yang diberikan menjadikan harga belian diturunkan daripada RM1.43 kepada RM1 seliter.

Kelmarin, Ah Tey dilaporkan membuat kenyataan bahawa surcaj tambang bas sekolah sebanyak 30 peratus akan dikenakan mulai penggal baru persekolahan bermula semalam.

Dianggarkan terdapat 15,000 pengusaha bas sekolah seluruh negara dan daripada jumlah itu kira-kira 8,000 berdaftar dengan persatuan tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...