Tuesday, January 6, 2009

Lagi tuduhan terhadap 'Datuk cek tendang'

BALIK PULAU - Seorang lelaki yang menggelarkan dirinya 'Datuk Kabi' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau semalam terhadap dua lagi tuduhan menipu dalam urusan jual beli kereta pada 2005 dan 2006.

Kamaleshwaran Chitravelu (gambar), 29, pada Jumaat lepas turut dihadapkan ke mahkamah yang sama kerana menghadapi tuduhan serupa.

Dalam pertuduhan pertama semalam, dia didakwa menipu seorang wanita C. Rethnadevi bagi pembelian sebuah Proton Perdana bernilai RM62,000 dengan menyerahkan cek tendang bernilai RM57,000 di Restoran Pappadam di Sungai Nibong pada 6 Julai 2005.

Bagi tuduhan kedua, Kamaleshwaran didakwa melakukan kesalahan di tempat yang sama pada 10 Februari 2006, melibatkan penipuan cek bernilai RM10,000 bagi bayaran ansuran sebuah kereta BMW 320i, kepada seorang jurujual, Peh Eng Hiam.

Majistret Norhayati Johar membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 10 Februari ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Sebelum itu, Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Md. Saad Hassan memohon supaya mahkamah tidak membenarkan Kamaleshwaran diikat jamin kerana dia pernah melarikan diri dalam jaminan mahkamah bagi lima kes yang serupa sebelum ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...