Wednesday, January 7, 2009

Pengorbanan ibu


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: Demi mempertahankan maruah anak gadisnya daripada diperkosa beramai-ramai, seorang ibu tunggal sanggup bergelut dengan tiga penjenayah yang menyamar anggota polis khas dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman.

Dalam kejadian jam 6 pagi semalam, wanita berusia 44 tahun berkenaan sanggup mempertaruhkan nyawanya walaupun berhadapan dengan tiga lelaki yang menceroboh masuk kediamannya di Batu 4, Jalan Gombak di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kejadian berlaku apabila tiga lelaki tidak dikenali mengetuk pintu rumah mangsa.

Wanita berkenaan membukanya sebelum tiga lelaki terbabit memperkenalkan diri sebagai anggota polis khas dari Bukit Aman tanpa menunjukkan kad kuasa.

“Suspek yang tidak memakai pakaian seragam polis mendakwa mengesyaki mangsa menyembunyikan pembantu rumah warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah.

“Mereka terus meluru masuk ke dalam rumah sambil berpura-pura menggeledah rumah mangsa untuk mencari wanita Indonesia berkenaan,”
katanya.

Menurutnya, pada masa sama suspek turut mengambil tali pinggang dan jam berjenama, duit syiling serta tiga telefon bimbit milik mangsa.

“Tidak cukup dengan apa diperoleh, suspek mengugut mangsa bersama dua anak perempuannya berusia 25 dan 28 tahun supaya menanggalkan semua barang kemas dipakai.

“Mangsa yang ketakutan terpaksa menyerahkan cincin, rantai leher, rantai tangan dan rantai kaki kepada suspek,”
katanya.

Menurutnya, selepas mengambil semua barang kemas berkenaan, seorang daripada suspek bertindak liar cuba merentap tangan anak mangsa berusia 25 tahun.

“Suspek yang berusia 30-an itu cuba mengheret mangsa masuk ke dalam bilik dipercayai untuk memperkosanya.

“Menyedari niat jahat suspek, ibu mangsa bertindak melawan sebelum berlaku pergelutan antara mangsa dan tiga lelaki berkenaan,”
katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek segera melarikan diri selepas mangsa menjerit meminta tolong.

“Siasatan mendapati suspek melarikan diri dengan menaiki Proton Wira Aeroback. Mangsa yang mengalami kerugian lebih RM9,000 segera membuat laporan polis,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090107100642/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...