Wednesday, January 7, 2009

Saman putus tunang RM70,000


Oleh NORHAYATI YAHAYA
dan NORLIDA AKMAR IDROS
berita@kosmo.com.my



MUHAMMAD SALLEH menunjukkan gambar kenangan majlis pertunangannya dengan Nur Diana tahun lalu.
--------------------------------------------------------------------------------


SHAH ALAM – “Tak ada jodoh antara kita, nak pulangkan semua barang-barang balik.” Itulah antara ungkapan dua mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima Muhammad Salleh Muhamad Yusuf, 46, semasa beliau masih berada di Switzerland daripada bakal bapa mentuanya yang didakwa memutuskan pertunangan seterusnya menghancurkan harapannya membina masjid bersama gadis pilihan hatinya, Nur Diana Ahmad Zubir, 28.

Muhammad Salleh yang telah membuat segala persiapan sebelum itu sudah membayangkan kemeriahan majlis perkahwinan dengan orang yang dicintainya itu yang sepatutnya berlangsung pada 17 Januari ini.

Bagaimanapun, semua itu tinggal kenangan sebaik beliau menerima SMS minta diputuskan pertunangan pada 4 Disember lalu.

Keputusan keluarga bekas tunangnya yang dianggap Muhammad Salleh tidak bertanggungjawab menyebabkan beliau menuntut ganti rugi lebih RM70,000 di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Difahamkan, ini merupakan kes pertama di Selangor pihak lelaki menuntut bayaran seumpama itu daripada keluarga perempuan gara-gara putus tunang.

Terdahulu di kamar mahkamah, prosiding di hadapan Hakim Syarie, Kamarulzaman Ali berlangsung dalam keadaan tenang, namun plantif dan defendan masing-masing tidak memperdulikan antara satu sama lain.

Muhammad Salleh diwakili Peguam Syarie, Ahmad Nazib Johari manakala Nur Diana hanya bertemankan ibu bapanya.

Nur Diana meminta bekas tunangnya supaya menangguhkan kes tersebut sebulan bagi memberi beliau peluang untuk melantik peguam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...