Monday, February 9, 2009

Gagal temui barang, perompak rogol gadis

MUAR: Berang kerana tidak berjaya mendapatkan barang berharga, sekumpulan penjenayah melepaskan geram dengan merogol dua tetamu rumah yang dipecah masuk di Felda Moakil, di sini, awal pagi semalam.

Dua pelajar sebuah kolej berusia 18 tahun yang menjadi mangsa kerakusan nafsu lima penjenayah itu dikatakan menghabiskan cuti hujung minggu di rumah rakan mereka yang dipecah masuk.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi, lima perompak dipercayai warga asing bersenjatakan parang memecah masuk rumah berkenaan melalui pintu belakang yang dikatakan tidak berkunci.

Penjenayah terbabit kemudian mengejutkan pasangan suami isteri dan seorang anak perempuan pasangan berkenaan yang tidur di ruang tamu sebelum mengikat mereka.

Sumber polis berkata, penjenayah itu kemudian menggeledah rumah tetapi gagal menjumpai barang berharga, menyebabkan mereka marah dan mengugut mencederakan mangsa dengan parang.

“Selepas itu, perhatian dua daripada perompak itu beralih ke sebuah bilik berkunci yang didiami tiga rakan anak pemilik rumah berkenaan dan mereka memecahkan pintunya.

“Mereka (penjenayah) kemudian mengikat ketiga-tiga mangsa sebelum menyelongkar beg pakaian dan bilik tidur terbabit, tetapi turut gagal menemui barang berharga sehingga menyebabkan mereka berang lalu merogol dua gadis di bilik itu,” katanya.

Difahamkan, susulan kejadian itu polis melancarkan gerakan memburu penjenayah berkenaan, termasuk menggunakan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) di kawasan berdekatan.

Sehingga petang semalam, operasi mengesan suspek berjaya menahan empat lelaki warga Indonesia bagi membantu siasatan.

Kedua-dua mangsa turut dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk pemeriksaan kesihatan lanjut dan mereka dikatakan masih dalam keadaan trauma akibat kejadian itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090208084325/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...