Monday, February 9, 2009

MB Perak jawab tuduhan

MB Perak jawab tuduhan




Badru Abd Kader, 68, di kediaman keluarganya." title="MOHON RESTU... Dr Zambry mencium tangan ibunya, Saidatul
Badru Abd Kader, 68, di kediaman keluarganya." height="207" width="300" border="0">
MOHON RESTU... Dr Zambry mencium tangan ibunya, Saidatul 
Badru Abd Kader, 68, di kediaman keluarganya.

IPOH: “Apa dia ingat dia ‘halal’ ke... itu saja soalan saya... itu jawapan saya,” kata Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir ketika mengulas dakwaan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang membuat tuduhan bahawa pelantikannya adalah ‘haram’.

Kelmarin, Mohammad Nizar mendakwa pelantikan Dr Zambry ke jawatan itu tidak sah kerana berdasarkan undang-undang beliau masih memegang jawatan itu.

“Itu dia punya bacaan undang-undang... mana dia baca pun saya tidak tahu... yang haram hanya kepada orang lain, yang halal kepada dia,” katanya pada sidang media di majlis sambutan perayaan Tahun Baru Cina di Pusat Perkhidmatan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di Kampung Simee, di sini, semalam.

Hadir sama bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Majlis sambutan perayaan itu dianjurkan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) dan acara rasmi pertama Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

Ketika ditanya bila beliau akan memasuki pejabat rasmi Menteri Besar, Dr Zambry berkata, perkara itu akan dibincangkan dan diuruskan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.

Dalam pada itu, Dr Zambry turut mengutuk tindakan memalukan penyokong pembangkang yang bertindak liar menghalang majlis pelantikannya kelmarin.

“Saya selalu sebutkan, kalau mereka penggemar demonstrasi jalanan, saya minta biar rakyat melihat perangai mereka, tetapi saya yakin majoriti rakyat di Perak mahukan keamanan dan sebarang krisis hendaklah diatasi dengan jalan sah dan mengikut lunas undang-undang,” katanya mengulas perhimpunan haram didalangi penyokong Pakatan Rakyat (PR) di pekarangan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar, kelmarin.

Dr Zambry berkata, cabaran terbesar yang dipikul sebagai Menteri Besar Perak yang sah adalah menyakin dan menjelaskan kepada rakyat bahawa pelantikannya ke jawatan tertinggi kerajaan negeri itu adalah berdasarkan undang-undang dan direstui Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

“Keputusan itu mengikut titah tuanku dan tolong jangan mempersoalkan kuasa mutlak yang ada pada baginda.

“Sultan Azlan Shah bukan sebarang sultan kerana tuanku adalah bekas Ketua Hakim Negara dan sebarang tindakan yang dibuat baginda berteraskan prinsip perundangan dan perlembagaan sah,” katanya.

Zambry meminta rakyat bertenang dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mandat yang diberi tuanku kerana berdasarkan majoriti yang ada Kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan untuk membentuk kerajaan.

Ketika diminta mengulas keengganan Mohammad Nizar keluar dari kediaman rasmi Menteri Besar, Dr Zambry berkata, kediaman itu tidak penting baginya kerana perkara lebih utama adalah menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar.

“Biarlah jika dia tidak mahu keluar dari rumah (kediaman rasmi Menteri Besar) kerana bagi saya kediaman tidak penting... yang penting adalah meneruskan khidmat bakti kepada rakyat Perak,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090208084955/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...