Tuesday, April 7, 2009

Dua pengarah bersalah keluar RM50j akaun Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Dua pengarah Metrowangsa Asset Management Sdn. Bhd. (MAM) Ghazali Atan dan Mohamed Abdul Wahab yang dituduh bersubahat mengeluarkan RM50 juta dari akaun amanah Tabung Haji didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Rosenani Abd Rahman membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan saksi dan hujahan peguam bela masing-masing di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Rosenani berkata, terdapat peranan aktif Mohamed terhadap pemindahan wang itu dan pendakwaan telah membuktikan kedua-dua tertuduh dengan sedar membenarkan pemindahan wang itu dibuat.

Ghazali dan Mohamed, dituduh bersubahat mengeluarkan RM50 juta dari akaun berkenaan yang diselenggarakan oleh syarikat itu di Malayan Banking Berhad, Menara Maybank, di sini bagi membuat pembayaran kepada Mimos, bukan pihak yang berhak ke atas wang tersebut.

Kedua-duanya yang berusia 55 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di C12A-1&2, Jalan Selaman 1, Palm Square, Ampang, Selangor antara 18 April dan 24 Mei tahun 2001.

Kedua-dua tertuduh yang berada di dalam kandang kelihatan tenang sepanjang keputusan dibacakan.

Bagaimanapun, Mohamed yang menghadapi dua lagi pertuduhan dilepas dan dibebas setelah Rosenani mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Rosenani menetapkan 7 April ini untuk mendengar rayuan dan menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh. – Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...