Tuesday, April 7, 2009

Pembunuh bersiri Indonesia terbit album


GAMBAR menunjukkan Verry dalam tahanan polis pada 4 Mac lalu di Depok, Indonesia.


DEPOK, Indonesia - Bagi seorang lelaki yang berdepan dengan hukuman mati kerana dituduh melakukan pembunuhan bersiri, Verry Idham Henyansyah menyelitkan unsur-unsur jenaka dalam album yang akan diterbitkan dalam bulan ini berjudul My Last Performance.

Verry berumur 31 tahun sudah menjadi terkenal berikutan pengakuannya dalam satu siri pembunuhan melibatkan seorang ibu dan anaknya termasuk pendedahan kehidupannya sebagai seorang lelaki gay di Indonesia.

Kini Verry yang lebih dikenali sebagai Ryan mencari populariti dengan buku riwayat hidupnya yang diterbitkan pada Februari lalu dan koleksi lagu-lagu pop nyanyiannya dijangka dikeluarkan dalam bulan ini.

Verry ditangkap pada Julai tahun lalu selepas beberapa beg mengandungi cebisan badan kepunyaan salah seorang mangsanya, Herry Santoso ditemui di tepi sebatang jalan raya di Jakarta.

Dia kini ditahan di sebuah penjara.

Penemuan cebisan mayat itu menyebabkan polis menemui 10 kubur di belakang rumah ibu bapa Verry di kawasan pedalaman Jawa Timur.

Pihak pendakwa raya menuntut Verry ditembak oleh skuad penembak berhubung kesalahan membunuh itu dan keputusan dijangka diputuskan mahkamah dalam bulan ini.

Verry menyatakan dia membunuh Herry kerana ditawarkan sejumlah wang dan sebuah kereta supaya lelaki itu menjalin hubungan seks dengan kekasih lelakinya.

"Saya cemburu dan berang. Saya hanya menyedari dia (Herry) mati selepas saya melihat cebisan dagingnya dalam pangkuan saya, darah dan bau busuk" kata Verry dari bilik penjaranya.

Menurutnya, dia membunuh seorang wanita muda selepas dia cuba untuk menggodannya.

Dia turut membunuh anak wanita itu bagi membunuh saksi kejadian.

"Kebanyakan mangsa adalah lelaki gay seperti saya. Mereka membuatkan saya berasa murah. Saya berasa marah, kami bergaduh dan saya secara tidak sengaja membunuhnya," kata Verry. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...