Tuesday, April 7, 2009

Kemelut di Thai kian rumit - Thaksin tolak tawaran berunding


SEJUMLAH penunjuk perasaan berhimpun di luar bangunan Rumah Kerajaan di Bangkok semalam.


BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva semalam menyatakan beliau bersedia berunding dengan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra dalam usaha menamatkan tunjuk perasaan politik lebih seminggu.

Beribu-ribu penunjuk perasaan berkumpul di luar pejabat Perdana Menteri di sini sejak 26 Mac lalu dan menuntut supaya Abhisit meletak jawatan serta pilihan raya baru diadakan.

Kepungan itu memaksa Kabinet Thai membatalkan mesyuarat mingguannya pada Isnin lepas.

Selepas pulang dari sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20) di London, Abhisit mengulangi gesaan timbalannya untuk berbincang dengan Thaksin namun, beliau menolak sebarang pengampunan kepada pemimpin dalam buangan itu yang berdepan hukuman penjara kerana rasuah.

"Saya akan memberitahu Thaksin bahawa kerajaan akan memberi jaminan bahawa dia akan dibicarakan dengan adil tetapi semuanya perlu berlandaskan undang-undang," kata Abhisit pada satu sidang media.

"Pendirian kerajaan ialah untuk tidak tawar-menawar dengan Thaksin bagi mengelak berlaku masalah di kemudian hari," tambahnya.

Thaksin digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada 2006 manakala penyokong beliau yang menggelarkan diri mereka 'baju merah' menuduh Abhisit sebagai menjadi boneka tentera Thailand.

Sementara itu, Thaksin menolak tawaran itu dengan menganggap ia sebagai mengarut dan mendesat tunjuk perasaan di luar rumah Kerajaan ditingkatkan.

"Kerajaan menyatakan ia mahu berunding. Mereka hanya sekadar cakap-cakap kosong," kata Thaksin kepada penunjuk perasaan itu menerusi satu persidangan video dari sebuah lokasi yang dirahsiakan.

"Saya akan menyertai orang ramai yang mendesak demokrasi tulen dan menyelesaikan masalah kami.

"Pada 8 April ini, kita akan mengulangi semula revolusi rakyat," katanya.

Beliau mendesak ramai orang supaya berhimpun pada 8 April di Bangkok dan di beberapa buah wilayah lain jika tidak dapat pergi ke ibu kota Thailand itu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0404&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...