Monday, May 25, 2009

226 kes disyaki H1N1

KUALA LUMPUR: Bilik Pusat Kesiapsiagaan Krisis dan Bertindak Cepat (CPRC) Kementerian Kesihatan pada keseluruhannya menerima notifikasi 226 kes disyaki Influenza A (H1N1) dari seluruh negara, setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, Malaysia masih kekal dengan dua kes yang disahkan positif Influenza A (H1N1) pada 15 dan 16 Mei lalu manakala 224 kes lagi disahkan bebas daripada jangkitan penyakit itu.

“Bilik CPRC juga menerima 16 notifikasi kes yang dimasukkan ke wad isolasi di lima buah hospital rujukan Influenza A (H1N1) bagi tujuan penyiasatan iaitu 12 di Hospital Sungai Buloh, Selangor, masing-masing satu di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Melaka, Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan Hospital Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, kesemua 16 kes itu disahkan bebas daripada jangkitan Influenza A (H1N1) oleh ujian makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Menurutnya, sehingga semalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan dua lagi negara melaporkan secara rasmi kewujudan Influenza A (H1N1) iaitu Honduras dan Russia masing-masing dengan satu kes, menjadikan jumlah negara yang terlibat kini 44.

“Kumulatif kes Influenza A (H1N1) adalah sebanyak 12,149 yang disahkan positif oleh ujian makmal iaitu peningkatan 156 kes berbanding hari sebelumnya,”katanya dan menurutnya bagaimanapun jumlah kematian kekal 86 orang.

Dr Mohd Ismail berkata peningkatan itu dilaporkan di 11 buah negara iaitu Australia (dua), Brazil (satu), Kanada (86), Chile (lima), Costa Rica (enam), Itali (lima), Japan (27), Panama (tiga), China (tiga), Hong Kong (dua), Taiwan (satu), Peru (11) dan United Kingdom (lima). — Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...