Monday, May 25, 2009

Robert yang mencipta Viagra meninggal dunia

WASHINGTON - Seorang pemenang anugerah Nobel, Robert Furchgott (gambar) yang mengkaji gas nitrik oksida untuk menghasilkan ubat Viagra bagi pesakit mati pucuk meninggal dunia ketika berumur 92 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Akhbar New York Times melaporkan anak perempuan beliau, Susan Furchgott mengesahkan Robert meninggal dunia pada 19 Mei lalu di Seattle.

Menurut akhbar itu, kajian yang dilakukan oleh Robert, Louis Ignarro dan Ferid Murad berjaya membuktikan bahawa nitrik oksida yang diketahui sebagai bahan pencemar udara itu juga bertindak sebagai penunjuk penting bagi sistem kardiovaskular tubuh, menjadi pengantara tekanan dan pengaliran darah.

Kebolehan nitrik oksida membesarkan saluran darah merupakan langkah penting dalam pembangunan ubat oleh firma Pfizer Corporation yang dikenali sebagai Viagra.

Ubat ini penting bagi memperbaiki meningkatkan pengaliran darah ke zakar.

Firma Pfizer menyatakan penemuan asid nitrik merupakan sebahagian kecil maklumat dalam usaha penciptaan ubat itu.

Bagi menghargai Robert dan rakan-rakannya, mereka menerima anugerah Nobel pada 1998.

Penganjur anugerah itu memuji mereka kerana menyediakan bukti pertama bahawa sejenis gas boleh membantu fungsi penting dalam tubuh manusia.

Robert yang dilahirkan pada 4 Jun 1916 di Charleston, Carolina Selatan memiliki ijazah dalam bidang kimia dari Universiti North Carolina dan sarjana kedoktoran dalam biokimia dari Universiti Northwestern. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...