Monday, May 25, 2009

‘Hanya selesema biasa’

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my

semalam." title="LAWAT...ibu seorang pelajar melawat anaknya di MRSM,
semalam." height="367" width="300" border="0">
LAWAT...ibu seorang pelajar melawat anaknya di MRSM, 
semalam.

KUANTAN: “Bukan Influenza A (H1N1), hanya selesema biasa,” kata Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Rosnah Ismail, mengulas kira-kira 200 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang diasingkan di asrama sejak Selasa lalu.

Katanya, langkah mengasingkan pelajar terbabit terpaksa dilakukan pihak pentadbiran MRSM dan Jabatan Kesihatan berikutan demam berkenaan dikesan Selasa lalu apabila beberapa pelajar dikesan mengalami selesema sebelum merebak kepada 200 pelajar sehingga ke hari ini (semalam).

Menurutnya, langkah pengasingan itu bertujuan mengelakkan demam berkenaan merebak kepada pelajar lain.

“Jabatan Kesihatan sudah mengesahkan ia hanya demam biasa dan sehingga kini hanya dua atau tiga kes saja yang masih demam serta memerlukan pemeriksaan lanjut selepas mereka diasingkan sejak enam hari lalu,” katanya.

Katanya, setiap pelajar diperiksa doktor dua kali sehari dan keadaan kesihatan sebilangan besar pelajar dikuarantin semakin memberangsangkan.

“Demam mereka juga semakin berkurangan malah ada yang dibenarkan pulang bertemu keluarga sejak semalam,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, sekolah berasrama penuh berkenaan akan disahkan bebas daripada jangkitan influenza sekiranya tiada kes terbaru dilaporkan hari ini.

“Sehubungan itu, ibu bapa dan penduduk setempat tidak perlu panik kerana langkah pencegahan dan pemeriksaan berterusan sedang dilakukan Jabatan Kesihatan,” katanya.

Tinjauan Harian Metro ke sekolah yang mempunyai kira-kira 700 pelajar itu, petang semalam, mendapati ramai ibu bapa datang melawat pelajar terbabit bagi melihat keadaan kesihatan anak mereka.

Usaha wartawan untuk memasuki sekolah itu dihalang pengawal keselamatan berikutan mendapat arahan pihak pentadbiran.

Seorang ibu kepada pelajar tingkatan satu yang dikuarantin, berkata keadaan kesihatan anaknya semakin pulih selepas dimaklumkan mengalami selesema oleh pihak sekolah dua hari lalu.

“Dia sudah pulih daripada demam namun masih lagi diberi pemeriksaan rapi,” kata wanita berusia lingkungan 30-an itu yang enggan dikenali.

Sementara itu, seorang kakak kepada pelajar sekolah berkenaan, Haryanti Hamidon, 25, berkata dia datang melawat adiknya berikutan dimaklumkan ada pelajar dikuarantin.

“Walaupun adik saya tidak dijangkiti demam namun perasaan bimbang tetap ada berikutan agak ramai yang dikuarantin,” katanya ketika ditemui sejurus keluar dari sekolah berkenaan.

Difahamkan, semua pelajar terbabit kini dikuarantin di blok F asrama sekolah itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...