Monday, May 25, 2009

Gaduh rebut suami

TEMERLOH: Dipercayai berebutkan seorang lelaki, dua wanita sanggup bergaduh sambil menarik rambut di sebuah rumah ibadat di Mentakab, dekat sini, tengah hari Jumaat lalu.

Difahamkan, pergaduhan tercetus apabila seorang daripada wanita itu yang berusia 52 tahun menuduh seorang guru tadika berusia 46 tahun sering mengganggu suaminya.

Menurut sumber, isteri lelaki itu mulanya pergi ke rumah ibadat berkenaan lalu terserempak guru tadika terbabit.

“Wanita itu terus menyerang guru tadika berkenaan sebelum kedua-duanya bergaduh sambil menarik rambut selain memukul sehingga mengakibatkan guru tadika itu lebam di muka serta tangan.

“Dia turut mengugut mahu membunuh guru tadika berkenaan. Seorang lelaki yang ternampak mereka bergaduh dapat menghalang kejadian menjadi lebih buruk.

“Masing-masing membuat laporan di Balai Polis Mentakab,” katanya.

Dia berkata, kedua-dua wanita itu dibawa ke Hospital Mentakab (HM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Wanita berusia 52 tahun itu pernah menghalau suaminya kerana dikatakan hidup tidak menentu berikutan bekerja sebagai pemandu lori.

Ketika itu, dia berkenalan dengan guru tadika terbabit yang baru kematian suami.

Guru tadika itu dikatakan sering mengambil berat terhadap lelaki itu.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan R Sundralingam, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, polis sudah menahan reman dua wanita terbabit selama tiga hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh untuk membantu siasatan.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...