Monday, May 25, 2009

Ketagih gam akibat tertekan

Oleh Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my

LALOK...Bidin berkeliaran di jalan sambil menghidu gam.
LALOK...Bidin berkeliaran di jalan sambil menghidu gam.

KUALA TERENGGANU: Kehadiran remaja yang menghidu gam sekitar bandar raya ini semakin menjadi-jadi terutama selepas mereka menyedari tindakan itu tidak boleh membawa mereka kepada hukuman berat seperti kesalahan berkaitan dadah.

Bagaimanapun, implikasi akibat ketagihan itu dikhuatiri membawa kepada masalah sosial kerana penagih bahan yang merosakkan saraf otak itu boleh bertindak apa saja di luar kewarasan manusia normal ketika berada dalam keadaan khayal.

Seorang penagih gam yang ditemui berkata, dia menjadi ketagih dan beranggapan pengambilan bahan itu dapat melupakan masalah tekanan hidup yang dihadapinya.

Dia yang mahu dikenali sebagai Bidin, 23, ditemui berpakaian selekeh dan mengemis di tempat tumpuan ramai menghampiri wartawan untuk meminta RM1 bagi membolehkannya membeli gam semata-mata untuk melepaskan gian.

Ketika ditemu bual, dia memberitahu kebanyakan penagih gam di bandar raya ini ialah golongan yang tidak pulang ke rumah berbulan-bulan semata-mata ingin melepaskan tekanan hidup dengan menghidu gam di tempat awam.

Sambil memegang sebungkus plastik berisi gam, Bidin yang berasal dari Besut, memberitahu kehadirannya tidak diperlukan keluarga terutama selepas dia keluar dari rumah sebaik bertengkar dengan ibu bapanya sejak dua tahun lalu.

“Saya tidak sanggup berdepan dengan orang tua selepas konflik itu lalu membuat keputusan meninggalkan kediaman dan mengikut rakan ke bandar,” katanya.

Menurutnya pada mulanya dia dan rakan berhasrat mencari pekerjaan, tetapi disebabkan taraf pendidikan yang rendah dan tiada tempat tinggal serta kemudahan pengangkutan, dia tidak diberi peluang untuk bekerja.

“Dalam keadaan sebegini memang susah nak dapatkan pekerjaan...tambahan lagi saya ini bagaikan tidak mempunyai latar belakang,” katanya.

“Banyak majikan di sini sering menolak permohonan saya untuk bekerja tanpa berbual panjang malah, saya turut dapat rasakan cara mereka melihat saya yang compang-camping ini seperti pencuri yang ingin mengambil kesempatan.

“Sejak itu saya tawar hati untuk mencari pekerjaan lagi dan mula berpeleseran di sekitar pusat bandar bersama rakan lain,”
katanya.

Bidin yang juga penghidu gam tegar berkata, dia runsing memikirkan hidupnya sebegitu teruk malah, makan minumnya hanya diambil daripada sisa makanan yang dibuang di dalam tong sampah.

Menurutnya, rakan mula mengajarnya cara mengemis bagi mendapatkan wang malah mengajaknya membeli gam untuk dihidu kerana kenalannya mendakwa dengan cara itu saja dia dapat melupakan keperitan dan kesedihan yang ditanggung.

“Aman rasanya...saya bagaikan berada di atas puncak bulan dan bintang selepas menghidu gam dan segala kesedihan di hati bagaikan lesap begitu saja,” katanya.

“Selama ini saya tidak pernah rasa menghidu gam dan percubaan pada masa itu membuatkan saya ketagih dan tidak mungkin akan meninggalkan amalan ini.” katanya.

Katanya, sejak berpisah dengan ibu bapa dua tahun lalu mereka tidak pernah mencarinya untuk balik ke pangkuan keluarga dan disebabkan itu dia tidak pernah menyesal dengan perbuatannya. 

Sementara itu, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Shaikh Harun Ismail, berkata ibu bapa harus bersama-sama mengatasi masalah itu dan sebesar mana pun kesalahan anak mereka ibu bapa sepatutnya bertanggungjawab mencari jalan terbaik bagi menghalang anak mereka daripada memberontak.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090525072839/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...