Saturday, March 6, 2010

9 masih diburu

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
2010/03/06

TAPAH: Dua pasangan adik-beradik antara sembilan suspek yang diburu polis berhubung kes rogol membabitkan seorang gadis berusia 15 tahun yang dipercayai dirogol bergilir-gilir oleh 14 lelaki di dua tempat berasingan masing-masing pada 28 Februari dan 1 Mac lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Sungkai dirogol bergilir-gilir oleh 14 lelaki di sebuah spa di Felda Hot Spring, Sungkai dan sebuah rumah kosong di Felda Sungai Klah di sini.


Selepas gerakan memburu suspek dijalankan sehari selepas kejadian, polis setakat ini menahan lima suspek masing-masing dua pada 2 Mac lalu dan tiga lagi kelmarin.


Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad, berkata sembilan suspek yang masih bebas itu berusia 17 hingga 26 tahun.


Beliau berkata, polis kini memburu pasangan adik-beradik terbabit, Mohd Sahabudin Hashim, 23, dan Shahrul Hisham Hashim, 21, serta Mohd Rosli Mustafa, 26, dan adiknya, Mohd Roslan Mustafa, 18.


“Selain itu, lima suspek lain dikenali Azizul Sabli, 22, Mohd Athika Mohd Hanapi, 19, Mohd Shabil Rosdi, 17, Ahmad Nursufian Alias, 23, dan Mohamad Shafiq Mohd Shahimi, 20 dengan semuanya berasal dari Sungkai.

“Kami sudah menjejaki rumah mereka, namun tiada di rumah dipercayai melarikan diri,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Katanya, mereka yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tapah, Asisten Superintendan Md Nasri atau Pegawai Penyiasat Inspektor Yusuraya Yusoff di talian 05- 4011222 atau 05-4015222.


Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pelatih perempuan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Sentosa Chenderiang di sini mendakwa penolong pegawai perubatan di kem berkenaan menyentuh dan menekan payu dara serta bahagian sulitnya ketika mendapatkan rawatan 1 Mac lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/9masihdiburu/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...